SAARANI (kanan) menyiram pokok durian sempena majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC. FOTO ihsan Perak SADC.
SAARANI (kanan) menyiram pokok durian sempena majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC. FOTO ihsan Perak SADC.
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) akan membangunkan projek tanaman durian membabitkan kawasan seluas 628.5 hektar di seluruh negeri ini dengan peruntukan RM44.41 juta, tahun ini.

Perak SADC dalam kenyataan semalam berkata, varieti utama durian yang akan ditanam adalah Musang King selain beberapa varieti lain seperti Duri Hitam dan D24.

Menurutnya, dijangka kawasan berkenaan akan mula mengeluarkan hasil secara berperingkat menjelang 2029.

"Perak SADC juga merancang untuk mengadakan usahasama pemasaran dan melihat kewajaran bagi membangunkan kilang pemprosesan durian yang mampu untuk memproses durian sejuk beku, pulpa durian beku dan pes.

"Hasil produk ini dilihat berpotensi dipasarkan untuk pasaran domestik serta dieksport ke China dan beberapa negara lain.

"Perak SADC juga optimis bahawa pembangunan projek ini mampu menjadi antara penyumbang dalam merancakkan lagi industri durian sekaligus mempromosi negeri Perak sebagai antara salah satu hub pengeluaran durian yang utama di Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya melalui anak syarikat Perak Agro Forestry Sdn Bhd (PAFSB) sudah mengorak langkah membangunkan projek tanaman durian berskala besar.

Katanya, ia secara dasarnya untuk meningkatkan penjanaan pendapatan melalui pelbagai cabang perniagaan selain tidak hanya tertumpu kepada komoditi kelapa sawit semata-mata.

"Langkah yang dilaksanakan ini juga adalah berkesinambungan untuk menjadikan anak-anak syarikat Perak SADC sebagai 'profit centre' yang menyumbang kepada pendapatan Perak SADC secara keseluruhannya sepertimana digariskan dalam Pelan Halatuju Strategik 5 Tahun Perak SADC," katanya.

Semalam, majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong disempurnakan oleh Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kata kenyataan itu, Ladang Ayer Kala sebelum ini adalah lokasi penanaman sawit yang sudah mencapai tempoh tanaman semula.

"Selepas beberapa kajian dibuat, lokasi ini dilihat berpotensi sekaligus terpilih untuk dibangunkan sebagai ladang perintis tanaman durian berdasarkan kesesuaian topografi dan geografinya.

"Secara asasnya, sebanyak 12,000 anak pokok durian terdiri daripada varieti Musang King, Duri Hitam serta D24 akan ditanam dilokasi ini dengan jumlah keluasan kawasan sekitar 300 ekar (121 hektar)," katanya.

Katanya, ladang berkenaan juga bakal dilengkapi dengan 'smart irrigation system' bagi memastikan aspek pengurusan pengairan anak pokok durian dapat diseragamkan dan dikawal secara sistematik.

"Penggunaan teknologi seumpama ini juga bukan saja menjadi kunci kepada kejayaan tanaman durian bahkan ia memberi manfaat dalam mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.

"Perak SADC mengharapkan projek tanaman durian yang akan dilaksanakan ini akan memacu kejayaan selain menjadi antara penyumbang utama kepada kepada kesejahteraan rakyat serta ekonomi negeri Perak secara amnya," katanya.

Keterangan gambar:

Pix: IPOH 03 APRIL 2022. Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) pada majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong. NSTP/IHSAN PERAK SADC.

Pix: IPOH 03 APRIL 2022. Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Perak SADC, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) menyiram air pada pokok durian sempena majlis Perasmian Penanaman Pertama Projek Penanaman Durian Perak SADC di Ladang Ayer Kala, Lenggong. NSTP/IHSAN PERAK SADC.

Tamat//

From: Hidayah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 2:56 PM