TANGKAP layar video ketika Suriyana menyerahkan beg kepada pelajarnya. FOTO Ihsan Suriyana Asri
TANGKAP layar video ketika Suriyana menyerahkan beg kepada pelajarnya. FOTO Ihsan Suriyana Asri
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Kenangan dibelikan kasut sukan oleh gurunya ketika berusia 17 tahun menyebabkan guru wanita ini mengambil keputusan sama untuk membeli beg sekolah baharu buat pelajarnya.

Kenangan itu juga mengingatkan Guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ambrose, Ayer Tawar, di sini, Suriyana Asri, 35, untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan biarpun berbeza kaum dan agama.

Video Suriyana menghadiahkan beg sekolah kepada pelajar lelaki berbangsa India dikongsi di aplikasi TikTok dan mendapat perhatian ramai yang memuji tindakan murni guru itu yang prihatin dengan kebajikan pelajarnya.

Malah dalam video tersebut pelajar tersebut dilihat terharu dan turut dipesan supaya belajar dengan tekun.

Katanya, dia menghadiahkan beg sekolah baharu itu kepada pelajar tingkatan satu terbabit selepas menyedari remaja itu menggunakan beg lama yang sudah lusuh dan koyak pada Jumaat lalu.

"Sebenarnya saya memang perhatikan pelajar ini sejak lebih sebulan lalu selepas menyedari dia tidak mengalas beg sebaliknya memegang beg itu di hadapan seperti pegang buku.

"Kebetulan saya juga mengajar kelasnya dan lihat dia mengambil buku melalui tempat yang koyak itu. Sebagai ibu saya tersentuh hati melihatnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Suriyana berkata, dia tidak mengetahui lanjut latar belakang pelajarnya itu tetapi mengakuinya daripada keluarga kurang berkemampuan dan pernah menerima bantuan untuk pelajar golongan itu sebelum ini.

Katanya, pelajar itu juga seorang yang baik dan sangat menghormati guru serta berbudi bahasa.

"Kami saja suruh dia bawa begnya ke bilik guru dan minta keluarkan buku kononnya mahu buat pemeriksaan sebelum serahkan beg baharu itu kepadanya.

"Terpancar riak gembira dan terharu di wajahnya, malah dia juga mengucapkan 'terima kasih cikgu' berulang kali sambil meletakkan tangan di dada sehingga keluar dari bilik guru dengan menunduk badannya sedikit.

"Reaksinya itu juga membuatkan cikgu lain turut menitiskan air mata. Saya juga terharu kerana beg itu harganya tidaklah seberapa tetapi dia sangat menghargainya," katanya yang sudah berkhidmat sebagai guru sejak 10 tahun lalu.

Bercerita lanjut, Suriyana berkata, situasi dilalui pelajarnya itu pernah dirasainya dahulu apabila gurunya juga pernah menghadiahkan sepasang kasut sukan baharu kepadanya ketika menyertai pertandingan bola baling peringkat Kebangsaan.

"Saya juga bukan orang senang dan kisah yang tidak akan dilupakan apabila dibelikan kasut sukan oleh Cikgu Din ketika di tingkatan lima.

"Ketika itu saya mewakili Kelantan dan mungkin Cikgu Din lihat kasut sukan saya sudah terlalu uzur jadi dia belikan kasut baharu," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka videonya menghadiahkan beg kepada pelajarnya itu sebagai sumbangan peribadi tular di TikTok dan mendapat perhatian ramai.

Katanya, dia bersama lebih 25 guru sesi petang sekolah berkenaan juga membuat kutipan sejumlah wang setiap bulan untuk kebajikan pelajar seperti membeli baju, seluar dan kasut sekolah serta memberi wang belanja kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

eterangan gambar:

Pix: KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2022. Tangkap layar video Suriyana menghadiahkan beg sekolah baharu kepada pelajar lelaki berbangsa India dikongsi di aplikasi TikTok dan mendapat perhatian ramai yang memuji tindakan murni guru itu yang prihatin dengan kebajikan pelajarnya. NSTP/IHSAN PEMBACA.

Pix: KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2022. Suriyana Asri, 35, yang menghadiahkan beg sekolah baharu kepada pelajar lelaki berbangsa India. NSTP/IHSAN SURIYANA ASRI.

Tamat//

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:28 PM