Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan tiga perkara iaitu fakta terkini Covid-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Menerusi pembukaan itu katanya, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah boleh keluar masuk negara seperti biasa dan dibenarkan ke negara yang turut membuka pintu sempadan kepada pengembara luar.

"Pada masa sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan sah juga boleh melakukan

pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

"Sebaliknya, mereka hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi 'Traveller' dalam MySejahtera," katanya dalam sidang media khas di yang disiarkan secara langsung, hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke negara ini, mengambil kira situasi gelombang Omicron masih menular.

Katanya, penerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan RT-PCR Covid-19 dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagaimanapun katanya, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan memperincikan prosedur bagi individu tidak menerima vaksin atas sebab perubatan atau tidak menerima sebarang vaksinasi, esok.

"Bagi negara yang masih menutup pintu sempadan, rakyat masih boleh memanfaatkan kaedah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang dipersetujui kerajaan Malaysia dengan negara terbabit.

"VTL sudah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, VTL turut dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia dan Thailand, Brunei serta Indonesia," katanya.

Beliau berharap rakyat mematuhi garis panduan ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 6:51 PM