Thalia Baiduri
Thalia Baiduri

Kuala Lumpur: Pelakon, Datin Thalia Baiduri menitip pesan buat semua wanita agar menjaga darjat serta harga diri masing-masing dan jangan bergaduh hanya disebabkan seekor 'buaya'.

Pelakon drama Cinta Dalam Hati yang juga usahawan itu berkongsi perkara itu ketika sesi siaran langsung di laman TikTok miliknya malam tadi ketika bersembang bersama pengikutnya.

"Sebagai orang yang pernah berada di dalam industri dan saya juga seorang wanita, saya harap tak payah kita bergaduh untuk satu buaya atau kumbang.

"Wanita kena jaga harga dan nilai diri awak. Awak semua cantik, kenapa kita nak gaduh sesama kita wanita dan buka aib sana buka aib sini macam rendah sangat darjat kita.

"Kita wanita kena jadi mahal, bukan berlumba-lumba buka aib sesama kita, Astaghfirullah takut saya," katanya.

Tambah Thalia, industri hiburan Malaysia juga kecil dan pergaduhan sesama artis tidak seharusnya berlaku.

"Industri kita kecil, pusing-pusing akan jumpa muka yang sama, lebih baik berhenti bercakap yang bukan-bukan.

"Memang cinta itu buta. Kita semua dan saya pun pernah muda. Contohnya, ibu kita halang kita keluar dengan seseorang, tapi, kita nak juga sebab darah muda yang dihalang. Itulah yang dibuat.

"Percayalah cakap saya nanti kemudian sesalan akan datang dan kita tahu kenapa ibu kita halang. Saya berharap semua pihak jangan menambah-nambah dalam isu ini yang memalukan dan dibaca oleh semua peringkat umur.

"Saya sendiri seorang ibu yang ada anak perempuan dan anak lelaki, memang takut bila baca pendedahan yang dibuat. Saya selalu berdoa dan beringat jangan seronok melihat aib orang kerana bimbang boleh terkena kepada kita, doa yang baik-baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 3:37 PM