TAMBAK Johor
TAMBAK Johor
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia dan Singapura bersetuju membuka semula sempadan darat secara berperingkat dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin - Laluan Darat (VTL-Land) bermula 29 November ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua negara sudah mencapai lebih 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin.

"Pencapaian ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

"Kerajaan kedua-dua negara bekerjasama untuk melancarkan VTL-Land pada 29 November.

"Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara," katanya hari ini.

Menurutnya, selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang terpisah dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

"Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

"Pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk penduduk tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

"Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksin," katanya.

Katanya, pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

"Pada masa ini, VTL- Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

"Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura," katanya.

Menurutnya, kerajaan kedua-dua negara juga bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

"Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal.

"Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat.

"Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:29 PM