Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sempena pembukaan penuh sempadan antarabangsa 1 April ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan protokol untuk pengembara bagi menjadikan Malaysia destinasi selamat serta mengelakkan kesesakan di pintu masuk antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia protokol am bagi pengembara umum membabitkan sebelum berlepas, semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta selepas memasuki Malaysia dalam tempoh 24 jam.

"Sebelum berlepas, pengembara dikehendaki memuat turun, mendaftar dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera, melengkapkan deklarasi perjalanan termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon Traveller dalam MySejahtera termasuk melaporkan dan muatnaik keputusan Ujian RT-PCR yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

"Bagi pengembara yang pernah dijangkiti dalam tempoh enam hingga 60 hari, mereka perlu melaporkan dan muatnaik keputusan RTK Antigen Profesional yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

"Bagi pengembara bukan warganegara, mereka juga dikehendaki untuk mempunyai perlindungan insuran (Covid-19 dan pengembaraan), menyatakan alamat tempat penginapan di Malaysia, dengan penghantaran maklumat di atas pengembara akan mendapat paparan berikut dalam aplikasi MySejahtera seperti Kad Pengembara bagi pengembara dengan vaksin lengkap, arahan pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama lima hari bagi pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi.

"Bagi pengembara yang tiada paparan kad pengembara atau arahan HSO, mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ketika ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pula, beliau berkata, pengembara akan melalui saringan demam dengan pengimbas haba (thermal scanner) atau rujukan kendiri kepada petugas kesihatan sekiranya bergejala untuk pemeriksaan lanjut di kaunter kesihatan di PMA.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Pengembara yang tidak bergejala akan meneruskan perjalanan ke kaunter Imigresen untuk semakan lanjut.

"Bagi protokol selepas memasuki Malaysia dalam tempoh 24 jam, pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Ag professional sama ada di fasiliti kesihatan swasta di PMA atau di luar PMA dalam tempoh 24 jam.

"Keputusan ujian RTK-Ag akan diperolehi dalam aplikasi MySejahtera.

"Sekiranya keputusan ujian RTK-Ag profesional positif, pengembara dengan vaksin lengkap akan diberikan HSO selama tujuh hari di tempat penginapan bagi kategori satu dan dua.

"Namun, bagi kategori tiga dan ke atas, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) atau hospital swasta," katanya.

Katanya, bagi pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama 10 hari.

"Sekiranya keputusan ujian RTK Antigen profesional negatif, pengembara dengan vaksin lengkap, mereka tidak perlu menjalani kuarantin.

"Bagi pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama lima hari di tempat penginapan serta dikehendaki menjalani RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima.

"Sekiranya ujian sampel kedua Covid-19 didapati positif, mereka akan diberikan HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil dan sekiranya keputusan Covid-19 negatif, mereka akan dilepaskan dari HSO," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak berumur bawah enam tahun (mengikut tahun kelahiran) dikecualikan daripada menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:21 PM