GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyambut baik pengumuman pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Presiden MATA Datuk Mohd Khalid Harun berkata, ahli-ahli dalam persatuan itu akan membuat pelbagai promosi pakej pelancongan dalam dan luar negara.

"Rata-rata ahli kami dari sektor pelancongan, mereka menyambut dengan penuh kegembiraan di atas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kurang dari sebulan, ahli kami akan membuat pelbagai promosi pakej pelancongan dalam dan luar negara. Saya yakin dalam tempoh kurang sebulan, ahli kami dapat menyediakan pelbagai pakej pelancongan untuk dipasarkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khalid berkata, ahli-ahlinya dari sektor lain seperti taman tema, restoran, perkapalan serta kedai cenderahati sudah tentu mengukir senyuman di atas pengumuman itu.

Katanya, pihaknya akan lebih bersedia untuk menyambut pelancong-pelancong luar.

"Di sini, saya ingin menasihatkan kepada semua ahli kami supaya lebih menitikberatkan aspek kesihatan untuk setiap pelancong yang dibawa masuk dengan menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memantau tahap kesihatan pelancongan mereka setiap hari.

"Saya juga sedar ada di pasaran yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 yang lengkap dengan aplikasi untuk memantau tahap kesihatan bagi semua pelancong yang masuk.

"Dengan adanya teknologi sebegini, ia dapat membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kerajaan bagi membendung kes Covid-19 membabitkan warga asing," katanya.

Katanya, MATA serta ahli sentiasa memberi sokongan dan kerjasama khususnya kepada MOTAC bagi mempromosikan kembali Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"MATA akur bagi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang akan dirangka nanti bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong asing," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Ismail Sabri dipetik berkata, keputusan itu dibuat bersandarkan tiga perkara iaitu fakta terkini Covid-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Katanya, menerusi pembukaan sempadan itu, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah boleh keluar masuk negara seperti biasa dan dibenarkan ke negara yang turut membuka pintu sempadan kepada pengembara luar.

"Pada masa sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

"Sebaliknya, mereka hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi 'Traveller' dalam MySejahtera," katanya dalam sidang media khas di yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 9:36 PM