Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia dan Thailand bersetuju membuka sempadan negara dengan pelaksanaan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara lengkap vaksinasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand.

"Berkaitan pembukaan semula sempadan, saya dan Perdana Menteri Prayut (Prayuth Chan o-cha) sudah berbincang mengenai keperluan untuk membenarkan semula aktiviti rentas sempadan antara kedua-dua negara.

"Dalam hal ini, kami bersetuju dan sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang sudah lengkap vaksinasi.

"Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi lain di masa akan datang," katanya dalam sidang media di Bangkok, Thailand, hari ini.

Menurutnya, Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sembilan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di utara semenanjung dan Selatan Thailand, dan VTL-Laut di antara Langkawi-Satun.

"Ini sudah tentu akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya untuk sektor pelancongan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengesahkan, kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 masing-masing.

"Ini amat penting untuk menyokong usaha-usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

"Kita juga akan susuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi MySejahtera Malaysia dan MorProm Thailand bagi memudahkan perjalanan rentas sembilan sempadan antara kedua-dua negara," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua negara akan meneroka peluang kerjasama dalam kajian serta penyelidikan vaksin Covid-19 dan juga vaksin lain.

"Kita memaklumkan kerajaan Malaysia sudah melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan penjenamaan semula Institut Genom dan Vaksin Malaysia (IGVM) pada 1 November 2021.

"Kedua-dua inisiatif ini bertujuan untuk memantapkan ekosistem pembangunan vaksin untuk memastikan Malaysia bersedia menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 1:36 PM