CHINA kekal sebagai negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan 1.4 bilion orang.
CHINA kekal sebagai negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan 1.4 bilion orang.
Agensi

New York: Penduduk dunia yang berumur lebih 65 tahun dijangka melebihi jumlah bilangan orang muda berusia 15 hingga 24 tahun.

Ia berdasarkan dapatan terbaru daripada Biro Bancian Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan jumlah keseluruhan penduduk dunia pada 2021 adalah sebanyak 7.8 bilion dengan penambahan 74 juta orang.

Berdasarkan bancian itu, China masih kekal sebagai negara yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan 1.4 bilion penduduk.

Ia diikuti India merekodkan 1.38 bilion penduduk, AS (332 juta), Indonesia (275 juta) dan Pakistan (238 juta).

Peningkatan jumlah penduduk bagi 2021 itu menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk global adalah sebanyak 0.9 peratus iaitu lebih rendah daripada unjuran awal iaitu 0.96 peratus.

Walaupun penduduk global masih meningkat secara keseluruhan, kadar peningkatan didapati menurun secara konsisten sejak pertengahan 1960-an apabila hanya meningkat dua peratus.

Separuh daripada penduduk dunia tinggal di negara yang menyaksikan kadar kesuburan seumur hidup rendah iaitu dengan bilangan anak yang jangka dilahirkan oleh wanita secara purata adalah di bawah dua orang.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk global akan terus meningkat sehingga 2100, tetapi pertambahan akan hanya tertumpu di kawasan tertentu saja.

Lebih separuh daripada pertumbuhan penduduk dalam tiga dekad akan datang dijangka berlaku di lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Nigeria, Pakistan, Tanzania dan AS.

Dalam pada itu, 55 negara pula dijangka menyaksikan penurunan penduduk sebanyak satu peratus atau lebih dalam tempoh sama.

Kejatuhan paling ketara dijangka berlaku di Bulgaria, Latvia, Lithuania dan Ukraine dengan unjuran penurunan sebanyak 20 peratus.

PBB meramalkan trend itu akan didorong oleh kejatuhan kadar kesuburan dan faktor penghijrahan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:30 AM