PENDUDUK India di Mumbai pada 2022. FOTO AFP.
PENDUDUK India di Mumbai pada 2022. FOTO AFP.
Agensi

New Delhi: India akan mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia menjelang pertengahan 2023, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penduduk India dijangka bertambah hampir tiga juta lebih ramai daripada China berdasarkan data demografi daripada Laporan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) 2023.

Populasi dianggarkan pada 1.4286 bilion untuk India, berbanding 1.4257 bilion bagi China dijangka pertengahan 2023.

Wakil UNFPA bagi India, Andrea Wojnar berkata, dapatan tinjauan itu menunjukkan bahawa kebimbangan mengenai jumlah penduduk telah meresap ke dalam sebahagian besar orang.

"Namun bilangan penduduk tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan atau menimbulkan panik. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai simbol kemajuan, pembangunan dan aspirasi jika hak dan pilihan individu ditegakkan," katanya.

Menurut laporan itu, New Delhi adalah bandar paling ramai penduduk di India dengan 30 juta penduduk, diikuti hab kewangan India, Mumbai dengan 20 juta penduduk.

Bandar Kolkata Timur mempunyai 15 juta penduduk manakala hab teknologi, Bengaluru mempunyai 12 juta penduduk.

Sementara itu, pegawai penduduk PBB berkata, mustahil untuk menetapkan tarikh tepat populasi terkini itu kerana 'ketidakpastian' mengenai data India dan China, terutama India yang bancian terakhirnya pada 2011 dan bancian berikutnya pada 2021 ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Awal tahun ini, dilaporkan penduduk China berkurangan buat kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun. Negara itu mempunyai 1.41175 bilion orang pada akhir 2022.

Ia berbanding 1.41260 bilion pada setahun sebelumnya, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan negara itu, yang menjelaskan pengurangan 850,000 orang yang pertama sejak 1961.

Untuk jangka panjang, pakar PBB menjangkakan populasi China menyusut sebanyak 109 juta menjelang 2050, lebih tiga kali ganda penurunan yang diramal negara itu pada 2019.

Ini bermakna berlaku penyusutan tenaga buruh dan beban yang lebih besar terhadap penjagaan kesihatan dan kos keselamatan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 4:07 PM