Reuters

New Delhi: India diunjurkan menjadi negara paling ramai penduduk di dunia dengan lebih 1.4 bilion orang pada separuh kedua April.

Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), unjuran itu mengatasi negara China.

Banci India pada 2011 menyaksikan sejumlah 1.21 bilion penduduk di negara itu, bertambah sebanyak 210 juta penduduk dalam tempoh 12 tahun.

Mengikut data rasmi pada 2019 sehingga 2021, jumlah kadar kesuburan India menurun kepada 2.0 tetapi terdapat jurang perbezaan yang besar terhadap kadar kesuburan itu yang menunjukkan kejayaan program kawalan penduduk.

Pertambahan penduduk memberikan cabaran tersendiri kepada negara itu termasuk dari segi tenaga kerja pada masa akan datang.

Selain itu, anak muda dijangka berhijrah ke kawasan bandar yang membawa kepada peningkatan pesat dalam populasi bandar.

Penyediaan akses kepada kemudahan asas, kesihatan dan perkhidmatan sosial di kawasan bandar juga akan menjadi cabaran besar bagi perancang dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 3:03 PM