KEADAAN sebuah pasar yang sesak dengan pengunjung di Kolkata, India. FOTO Reuters
KEADAAN sebuah pasar yang sesak dengan pengunjung di Kolkata, India. FOTO Reuters
Agensi

New York: India dijangka mengatasi China untuk menjadi negara paling ramai penduduk di dunia pada tahun depan, iaitu empat tahun lebih awal daripada jangkaan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bloomberg melaporkan, PBB menjangkakan populasi global mencecah 8 bilion pada 15 November, dan ia meningkat kepada 8.5 bilion menjelang 2030.

Lebih separuh daripada unjuran kenaikan sekarang, dan pada 2050 dijangka hanya di lapan negara iaitu Congo, Mesir, Habsyah, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania, menurut laporan bertajuk 'Prospek Penduduk Dunia 2022'.

Dalam laporan itu, China dijangka mengalami penurunan dalam populasinya seawal tahun depan.

Seorang pegawai China awal tahun ini menganggarkan penduduk negara itu mungkin memuncak seawal tahun ini kerana populasinya mencecah 1.41 bilion, iaitu meningkat pada kadar paling perlahan sejak 1950-an, menurut data kerajaan.

Laporan terdahulu mengunjurkan India mengatasi China, menjelang 2027.

Kadar kematian dan perubahan demografi yang lebih rendah mungkin memastikan Asia Tengah dan Asia Selatan, menjadi wilayah paling ramai penduduk di dunia menjelang 2037.

Penduduk di rantau di Sub-Sahara Afrika mungkin menjadi hampir dua kali ganda menjelang akhir 2040 untuk mencecah 2 bilion.

Data menunjukkan, kadar pertumbuhan penduduk di Eropah dan Amerika Utara pula hampir sifar pada 2020 dan tahun lalu.

Populasi global dijangka meningkat kepada 9.7 bilion pada 2050 dan 10.4 bilion pada 2100, lebih rendah daripada anggaran PBB pada 2019, iaitu sebanyak 11 bilion.

Di India, jumlah kadar kesuburan mungkin menurun kepada 1.29 kelahiran setiap wanita menjelang 2100 dan bukannya anggaran awal PBB sebanyak 1.69 kelahiran, menurut laporan yang memetik data dari Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan.

Dalam laporan sama, bilangan wanita dan lelaki dijangka sama menjelang 2050 kerana kiraan global semasa 49.7 peratus wanita berbanding 50.3 peratus lelaki.

Kesuburan tinggi yang mampan dan pertumbuhan penduduk yang pesat memberikan cabaran untuk mencapai pembangunan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 6:15 AM