LAKARAN fotofit lelaki yang melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak di pangsapuri di Seksyen 19 Petaling Jaya, Isnin lalu. FOTO Ihsan PDRM.
LAKARAN fotofit lelaki yang melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak di pangsapuri di Seksyen 19 Petaling Jaya, Isnin lalu. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Polis memburu lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak di Seksyen 19 di sini, Isnin lalu berdasarkan lakaran fotofit yang dibuat dengan bantuan mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 26 tahun itu giat dikesan susulan laporan ibu mangsa berumur 40 tahun.

"Lakaran fotofit dibuat hasil bantuan mangsa berusia lapan dan sembilan tahun yang mengecam muka suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk membantu pihaknya mengesan suspek yang berketinggian 168 sentimeter (cm) dan berbadan kurus.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mengetahui kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M Naresh Kumar di talian 016-975 7113," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Media semalam melaporkan dua kanak-kanak lelaki yang pulang ke rumah sambil menangis membongkar kisah mereka didekati lelaki pedofilia ketika menjual kuih di pangsapuri di Seksyen 19 di sini.

Berita berkaitan

Tangisan dua beradik bongkar 'diserang' lelaki pedofilia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:35 PM