Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Polis sudah mengenal pasti suspek lelaki yang cuba menculik kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di depan Wat Ariyakhiri berhampiran rumahnya di Kampung Aril, Melor, dekat sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, lakaran fotofit suspek itu yang berusia lewat 20-an itu juga sudah diedarkan ke merata tempat.

"Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek akan segera menghubungi balai polis terdekat.

"Berdasarkan keterangan mangsa, suspek dipercayai warga tempatan berkulit sawo matang, tinggi dan berbadan kurus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilarikan sejauh 22 kilometer oleh seorang lelaki menaiki kereta Proton Saga.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan diri apabila kenderaan lelaki terbabit tersangkut dalam selut di Banir Belikung, Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 3:39 PM