GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Tangisan dua kanak-kanak lelaki sebaik pulang ke rumah mereka di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, di sini, membongkar nasib malang menimpa mereka apabila menjadi mangsa lelaki pedofilia kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dua beradik berusia lapan dan sembilan tahun itu pulang ke rumah dalam keadaan menangis menyebabkan ibu mereka berusia 39 tahun berasa pelik.

Menurut sumber, wanita terbabit yang bimbang melihat anaknya kemudian bertanya kepada mereka sebelum salah seorang anaknya memberitahu ketika mereka sedang menjual kuih di pangsapuri itu didatangi lelaki tidak dikenali.

"Suspek kemudian menarik tangan mereka secara paksa sebelum melakukan perkara tidak elok kepada kanak-kanak terbabit.

"Akibat ketakutan diperlakukan seperti itu, mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum melarikan diri," katanya.

Terkejut dengan kejadian menimpa anaknya, wanita terbabit kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sea Park untuk tindakan selanjutnya.

Sementara, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kita akan mengedarkan lakaran fotofit suspek nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 1:43 PM