SKUAD kebangsaan dijangka terbang ke Bahrain 19 Mei ini bagi dua aksi persahabatan.
SKUAD kebangsaan dijangka terbang ke Bahrain 19 Mei ini bagi dua aksi persahabatan.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya akan menguji semua pemain terbaik termasuk memanggil tiga pemain yang kini berkelana di luar negara iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan bagi mewujudkan skuad idaman.

Walaupun tiga pemain terbabit tiada dalam senarai awal menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya, prestasi memukau bersama kelab masing-masing menyebabkan barisan kejurulatihan tetap memberi ruang kepada mereka menyertai sesi kedua bermula 16 Mei depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiga pemain terbabit akan menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya termasuk disenaraikan mengharungi dua perlawanan persahabatan di Bahrain kelak.

Beliau berkata, ketika ini adalah penting menyenaraikan seramai mungkin pemain berkebolehan dalam usaha memilih skuad terbaik untuk dibawa ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

"Saya boleh nyatakan tiga pemain terbabit ada dalam senarai barisan kejurulatihan dan mereka akan dipanggil menyertai kem latihan kedua skuad Harimau Malaya yang bermula 16 Mei.

"Namun, segalanya terserah kepada pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe untuk memilih mereka atau sebaliknya sebaik selesai perlawanan persahabatan.

"Ketika ini, ketiga-tiga pemain itu menunjukkan prestasi memuaskan bersama pasukan masing-masing dan ini juga adalah satu perkara positif buat skuad Harimau Malaya dalam usaha memilih kesebelasan terbaik," katanya, di sini.

Skuad kebangsaan akan dihimpunkan semula pada 16 Mei dan dijangka terbang ke Bahrain pada 19 Mei untuk mengharungi dua aksi persahabatan.

Ia sebagai persiapan sebelum skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu ke UAE untuk menghabiskan baki tiga lagi perlawanan kelayakan yang dilangsungkan di negara terbabit.

Skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Untuk rekod, Liridon bermain di Liga Australia bersama Newcastle Jets manakala Eldstal dan Dominic di Liga Thailand masing-masing beraksi dengan Chonburi FC dan Police Tero.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:01 AM