PAN-gon mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam. FOTO Bernama
PAN-gon mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Setiap pemain yang hadir menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya sudah mengetahui peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam pasukan.

Ini kerana pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon terlebih dahulu memaklumkan peranan setiap pemain yang dipilih termasuklah taktikal diterapkan dalam pasukan supaya anak buahnya tidak keliru apabila menyertai kem latihan. Pemain pertahanan negara, Junior Eldstal berkata, persediaan skuad Harimau Malaya kali ini lebih sistematik dengan corak permainan berintensiti tinggi diterapkan dalam kem latihan negara.

"Dalam bola sepak kita kena tahu jurulatih dan pemain akan bertukar, oleh itu kita kena terima situasi terbabit dan bersedia mengikuti taktikal diterapkan kelak. "Sebelum menjalani latihan, barisan kejurulatihan terlebih dahulu telefon pemain dan memaklumkan apa peranan mereka nanti dan taktikal yang akan diterapkan dalam pasukan.

"Perkara itu cukup bagus kerana pemain sudah tahu apa yang perlu mereka lakukan sebaik menyertai kem latihan Harimau Malaya," katanya.

Skuad kebangsaan dalam rangka persiapan mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 berdepan Brunei pada Jumaat ini disusuli berdepan Hong Kong pada 1 Jun.

Dua aksi persahabatan itu sebagai persiapan skuad kebangsaan sebelum berdepan tiga perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan semua aksi berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 5:49 PM