MOHD Shahrul Mohd Saad.
MOHD Shahrul Mohd Saad.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohd Shahrul Mohd Saad diketepikan daripada pasukan kebangsaan menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan mengalami kecederaan lutut.

Mohd Shahrul menjadi pemain kedua digugurkan daripada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe selepas penyerang Selangor FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang turut terlepas peluang beraksi di UAE akibat kecederaan.

Mohd Shahrul dan Muhammad Shahrel sebelum ini menyertai kem latihan pusat di Johor Bahru pada Mac lepas, namun kedua-duanya tidak berada dalam senarai 25 pemain dipanggil Cheng Hoe ke kem latihan pusat bermula Isnin depan.

Mohd Shahrul dan Muhammad Shahrel terpaksa diketepikan selepas masing-masing mengalami kecederaan pada perlawanan Liga Super melibatkan aksi PJ City FC lawan Perak FC dan Sri Pahang FC bertemu Selangor FC pada 5 Mei lepas, menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Cheng Hoe mengekalkan 19 pemain pada kem latihan pusat pertama, selain memanggil tiga muka baharu iaitu penjaga gol Samuel Somerville (Penang FC), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan pemain muda JDT Arif Aiman Mohd Hanapi.

Bagi melengkapkan senarai 25 pemain ke UAE, Cheng Hoe turut memanggil semula pemain sayap JDT Muhammad Safawi Rasid, Dominic Tan (Police Tero FC) dan Junior Eldstal (Chonburi FC).

Pada masa sama empat pemain yang beraksi di luar negara - Liridon, Junior, Dominic dan penyerang KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin hanya akan menyertai sesi latihan pasukan negara di UAE menjelang aksi persahabatan pertama menentang Kuwait di Dubai pada 23 Mei.

Sementara itu, skuad kebangsaan akan memanfaatkan tempoh latihan pusat selama empat hari di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dipilih sebagai venue latihan awal sebelum berlepas ke Dubai pada 20 Mei.

Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Berikut senarai 25 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 16 hingga 19 Mei di Stadium Nasional, Bukit Jalil:

1. MOHD FARIZAL MARLIAS (JDT)

2. MATTHEW DAVIES (JDT)

3. MOHAMAD AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK (JDT)

4. ADAM NOR AZLIN (JDT)

5. LA'VERE CORBIN-ONG (JDT)

6. MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA (JDT)

7. MUHAMMAD NAZMI FAIZ MANSOR (JDT)

8. MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID (JDT)

9. MOHAMADOU SUMAREH (JDT)

10. MUHAMMAD SYAFIQ AHMAD (JDT)

11. MUHAMMAD SAFAWI RASID (JDT)

12. ARIF AIMAN MOHD HANAPI (JDT)

13. GUILHERME DE PAULA LUCRECIO (JDT)

14. MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID (Selangor FC)

15. MUHAMMAD SYAHMI SAFARI (Selangor FC)

16. BRENDAN GAN (Selangor FC)

17. MUHAMMAD IRFAN ZAKARIA (KL CityFC)

18. MUHAMAD NOR AZAM ABDUL AZIH (Sr Pahang FC)

19. MOHD RIZAL MOHD GHAZALI (Kedah Darul Aman FC)

20. LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN (KV Lortrijk)

21. NORSHAHRUL IDLAN TALAHA (Sarawak United FC)

22. SAMUEL JACOB SOMERVILLE (Penang FC)

23. LIRIDON KRASNIQI (Newcastle Jets)

24. JUNIOR ELDSTAL (Chonburi FC)

25. DOMINIC TAN (Police Tero FC)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:13 PM