CHENG Hoe (tengah) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemainnya. FOTO FB FAM
CHENG Hoe (tengah) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemainnya. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pintu skuad Harimau Malaya masih terbuka buat mana-mana pemain bagi menonjolkan kemampuan sama ada dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mahupun beberapa tonggak yang beraksi di luar negara.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, latihan pusat yang berlangsung di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Bahru yang berakhir semalam dianggap berjaya selepas setahun pemain tidak dikumpulkan bersama.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum memutuskan barisan terakhir yang akan dipanggil bagi menggalas misi getir dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

"Buat masa ini, kita barisan jurulatih masih belum buat apa-apa keputusan lagi, tapi kita nampak pemain baharu yang datang pun menonjolkan sesuatu yang boleh diketengahkan.

"Setiap pemain diberi peluang dan sudah tentu ada lagi beberapa pemain kita tak dapat panggil lagi contoh seperti Liridon Krasniqi, Junior Estdal dan Dominic Tan yang berada di luar negara. Pemain itu kita akan pantau prestasi dan tahap kecergasan mereka," katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe memulakan gerakan pertama dalam menyiapkan barisan terbaik negara apabila memanggil 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru bermula Isnin lalu yang berakhir kelmarin.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di UAE dengan aksi pertama berdepan tuan rumah diikuti Vietnam dan Thailand.

Dalam senarai terbabit, Cheng Hoe turut memanggil pemain naturalisasi baharu Malaysia buat kali pertama, Guilherme De Paula, namun menegaskan tidak dapat memangil Liridon, Eldstal dan Dominic berikutan kekangan beraksi di kelab luar negara.

Untuk rekod, Liridon bermain di Liga Australia bersama Newcastle Jets manakala Eldstal dan Dominic di Liga Thailand masing-masing beraksi dengan Chonburi FC dan Police Tero.

Begitupun, bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang bermain bersama KV Kortrijk di Belgium disenaraikan oleh Cheng Hoe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 8:05 PM