Cheng Hoe (kanan) harap kehadiran empat pemain ini mampu buat skuad Harimau Malaya beraksi dengan lebih cemerlang. Foto Ihsan FAM
Cheng Hoe (kanan) harap kehadiran empat pemain ini mampu buat skuad Harimau Malaya beraksi dengan lebih cemerlang. Foto Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran empat pemain yang beraksi di luar negara untuk menyertai skuad Harimau Malaya dianggap pelengkap dalam usaha merencana perancangan terbaik bagi menghadapi saingan kelayakan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Empat pemain terbabit iaitu Luqman Hakim (KV Kortrijk/Belgium), Liridon Krasniqi (Newcastle Jets/Australia), Dominic Tan (Police Tero/Thailand) dan Junior Eldstal (Chonburi FC/Thailand) akan menyertai latihan bersama di Dubai bermula hari ini sekali gus memudahkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyusun kesebelasan utama.

Namun, satu perkara yang diharapkan Cheng Hoe ketika ini adalah empat pemain berkenaan berada pada tahap optimum dengan masing-masing tidak berhadapan masalah prestasi atau kecederaan.

Cheng Hoe berkata, kehadiran empat pemain berkenaan akan membantu pasukan beraksi lebih cemerlang pada perlawanan kelayakan terbabit.

"Empat pemain terbabit tidak boleh menjalani latihan penuh sebelum ini kerana berada di luar negara dan berharap mereka berada pada tahap baik seterusnya boleh diserap dalam pasukan.

"Perkara penting adalah memastikan mereka serasi bersama pemain lain dan seperti sedia maklum keinginan bermain untuk pasukan kebangsaan begitu tinggi," katanya pada sidang media selepas sesi latihan keempat, semalam.

Skuad kendalian Cheng Hoe akan berlepas ke Dubai hari ini sebelum beraksi pada perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait, Ahad ini.

Selepas menentang Kuwait, skuad kebangsaan berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei dalam aksi persahabatan kedua yang juga perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia yang berada di kedudukan kedua akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:30 AM