AISHAH menunjukkan gambarnya bersama arwah sewaktu kecil.
AISHAH menunjukkan gambarnya bersama arwah sewaktu kecil.
Georgie Joseph


SELEPAS beberapa hari pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, penyampai radio Aishah Sinclair baru mendapat kekuatan bagi berkongsi mengenai abangnya itu.

Aishah jelas merasa kehilangan yang sangat besar namun berjanji akan menjaga dan menyayangi kakak iparnya yang juga penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari serta anak buahnya, Noah sebagaimana dia menyayangi arwah.

“Abang, saya sangat sedih kamu pergi terlalu awal. Kita tidak sempat habiskan perbualan kita. Saya tidak akan dapat memeluk dan bergurau dengan kamu lagi.

“Namun, saya sangat bersyukur adanya kamu dalam hidup saya. Meskipun hanya sementara. Saya harap saya mampu miliki semua kebijaksanaan, ilmu, dan kasih sayang yang kamu kongsikan dan teruskan legasimu.

“Kamu hadiahkan saya kakak ipar dan anak buah yang sangat mengagumkan. Saya berjanji akan berusaha menjaga mereka sebaik mungkin sebagaimana kamu selalu menjaga saya,” katanya.

Aishah menyifatkan Ashraf adalah abang terbaik yang sentiasa memastikan dirinya menjadi manusia terbaik yang sanggup susah dan senang untuknya.

“Saya membesar dengan dia yang sentiasa menjadi suara saya meskipun saya cakap tak lancar sehingga umur dua tahun, cuma dia faham. Dia melindungi saya, marah setiap kali perangai saya sukar dikawal.

“Biarpun sudah dewasa, saya tetap akan cari dia untuk mendapatkan kepastian dalam membuat keputusan, dapatkan karier, bahkan nasihat fesyen. Dia pasti akan lapangkan dirinya, biar sesibuk mana pun dirinya.

“Sepanjang hidup saya, abang adalah penjaga saya dan sekarang kamu adalah malaikat yang mengawasi saya,” tulisnya menerusi Instagram.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamad Sinclair disahkan meninggal dunia di Hospital MMC, Jakarta, Selasa lalu, akibat serangan jantung.

Aishah menerima berita sedih itu 10 minit sebelum dia ke udara di stesen radio terus bergegas mengambil penerbangan ke Jakarta bersama bapa, Mohammed Anthony John Sinclair dan ibunya, Khadijah Abdul Rahman.

Ashraf mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada 2005 sebelum mula mencipta nama sebagai pelakon di Indonesia.

Dia kemudian berkahwin dengan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta dan dikurniakan anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 12:59 PM