FOTO pernikahan BCL dan Tiko yang dikongsikan Aishah di akaun Instagram
FOTO pernikahan BCL dan Tiko yang dikongsikan Aishah di akaun Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyampai radio dan pengacara, Aishah Sinclair meluahkan rasa bahagia apabila kakak iparnya, Bunga Citra Lestari atau BCL, 40, dipertemukan jodoh dengan lelaki baik dan boleh menerima keluarganya juga.

Aishah, 40, menerusi hantaran di Instagram menyifatkan suami baru BCL iaitu Tiko Aryawardhana, 43, sebagai insan penyayang yang hebat dan gembira menjadi bahagian dalam keluarga mereka.

"Doa saya untuk kakak saya @itsmebcl agar suatu hari nanti ditemukan cinta dan kegembiraan semula, tapi saya berdoa supaya lelaki itu tidak hanya menjadi seorang teman yang menyokong Bunga serta bapa penyayang kepada Noah, tetapi dia juga akan menerima kami sebagai sebahagian daripada kehidupan Bunga.

"Dan Tiko adalah orang itu.

"Dari hari pertama kita bertemu, awak sudah menunjukkan kepada kami betapa hebatnya awak. Saya sangat gembira mempunyai anda dalam keluarga kami, Tiko.

"Terima kasih kerana bukan saja menyayangi Bunga dan Noah, tetapi juga menyayangi kami, Sinclair yang lain," tulisnya pada kapsyen foto Tiko, Noah dan Bunga di majlis pernikahan itu.

Meninjau di ruangan komen, BCL dan Tiko turut membalas ucapan ikhlas dan doa Aishah buat perkahwinan mereka.

"I love you @aishahjennifer ," komen BCL

"Ini adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kamu @aishahjennifer," balas Tiko.

Rata-rata netizen terharu dengan ucapan ditulis Aishah dan menganggap BCL beruntung kerana mempunyai keluarga mentua yang berhati baik dan sangat menyayanginya umpama anak sendiri.

Terdahulu, BCL yang juga penyanyi dan pelakon popular Indonesia melangsungkan pernikahan dengan Tiko yang juga ahli perniagaan berjaya pada majlis yang berlangsung di sebuah 'resort' mewah di Bali, Indonesia, Sabtu lalu.

Sebelum ini, BCL pernah bernikah dengan pengacara dan pelakon Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair, 44, pada 2008.

Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila Ashraf meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair, 12.

Dalam majlis pernikahan itu, keluarga Ashraf iaitu bapanya, Mohamed Anthony John Sinclair dan ibu, Khadijah Abdul Rahman serta adik-beradik, Aishah, Adam Sinclair dan isterinya, penyanyi Yuna hadir meraikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:01 PM