SYAMIM. FOTO Mahzir Mat Isa
SYAMIM. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman


SETIAP anak seni ada sasaran tersendiri dalam karier. Bermula dari kosong, mereka akan bekerja keras bagi menggapai impian yang didambakan.

Pengacara dan pelakon cantik Syamim Farid tidak terkecuali mendaki puncak kejayaan apabila kehadirannya semakin mencuri tumpuan peminat seni tanah air.

Syamim, 28, awalnya menyertai pertandingan Dewi Remaja 2014/15 dan berjaya muncul naib juara.

Rezeki menyebelahinya apabila ditawarkan mengacara rancangan HLive! Bersama CK Faizal, Donna Muslim, Dahlia Shazwan dan Adriana Adnan.

Dalam masa sama, dia juga diberi kepercayaan mengendalikan program jualan dalam talian GoShop.

Langkah pertamanya dalam lakonan bermula menerusi drama Lelaki Macam Dia dan Mata Cinta berjaya membuka mata banyak pihak.

Lima tahun membina nama, Syamim gembira dengan apa yang dikecapi setakat ini.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon semakin banyak. Terbaharu, saya dilamar menjayakan drama untuk tayangan Ramadan namun terpaksa menolak kerana baru pulang mengerjakan umrah.

“Saya ke tanah suci Makkah pada penghujung Disember lalu sehingga awal Januari dengan suami. Ketika itu saya memang merancang mahu berehat sebelum kembali aktif berlakon,” katanya.

Syamim berkata, hasrat menunaikan umrah dibuat pada saat akhir kerana ketika itu terikat dengan penggambaran drama Kan Kukejar Cinta Kamu (KKCK).

“Memang tak berani buat tempahan awal kerana bimbang penggambaran lambat selesai. Bagaimanapun apabila tamat KKCK perasaan untuk ke Makkah semakin membuak-buak.

“Tahun lalu saya buat umrah dengan keluarga dan tahun ini dengan suami pula. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar walaupun saat akhir.

“Bilik hotel pun cukup-cukup untuk kami saja. Visa pun diperoleh sehari sebelum kami bertolak,” katanya.

Bergelar isteri kepada Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari sejak Mac 2017, Syamim akur belum ada rezeki dikurniakan cahaya mata.

Ketika berada di Makkah, dia tidak putus-putus berdoa perkara yang baik-baik termasuk memohon agar dianugerahkan zuriat.

“Di sana kan kita boleh minta apa saja perkara yang baik-baik. Sudah tentu saya mohon yang terbaik untuk keluarga serta kerjaya.

“Saya berkahwin dengan suami selepas beberapa bulan Dewi Remaja berakhir,” katanya.

Syamim mengakui tidak pernah merahsiakan status sebenarnya kepada peminat. Bagaimanapun masih ramai menyangkakan dia masih solo.

“Apabila kembali berlakon, ramai ingat saya masih bujang. Di lokasi penggambaran pun ada kru dan pelakon tak tahu status sebenar saya. Mereka hanya tahu pada akhir penggambaran.

“Saya bukan merahsiakan perkara ini tetapi mungkin personaliti saya memperlihatkan diri ibarat orang muda.

“Apa saya boleh katakan, rezeki dalam dunia lakonan hadir selepas saya berkahwin,” katanya.

Drama lain yang dibintangi Syamim adalah Cinta Tiada Ganti dan Kan Kukejar Cinta Kamu yang rancak disiarkan menerusi Astro Ria.

Dia mengakui berterima kasih dengan Cinta Tiada Ganti yang melonjakkan namanya sekelip mata.

“Cerita itu disiarkan lebih 100 episod dan peminat tengok hari-hari di kaca TV. Secara tak langsung mereka kenal saya.

“Daripada situ, peminat mula mengikuti perkembangan saya dan drama saya seterusnya.

“Namun, orang kenal saya dengan nama karakter, bukan sebagai Syamim Farid. Mereka panggil saya Shanie selepas menonton Cinta Tiada Ganti dan sekarang Kalsom dalam KKCK,” katanya.

Syamim berkata, dia tidak berkecil hati kerana apa yang penting peminat dapat menerima lakonannya.

“Sekarang baru orang tahu saya pernah masuk Dewi Remaja, jadi hos Hlive! dan GoShop.

“Saya beruntung kerana suami menyokong apa saja minat saya. Sebagai isteri saya kenalah tengok kesesuaian watak.

“Semestinya saya akan pilih watak yang okay dan disukai peminat. Sebaik-baiknya, saya akan elak bawa watak yang mengundang kontroversi,” katanya.

Ditanya sekiranya ditakdirkan hamil, Syamim berkata ia sesuatu yang dinanti dan amat menggembirakan.

“Sudah pasti saya akan fokus pada kandungan dan ketepikan seketika karier. Selepas semuanya selesai baru saya akan kembali bekerja.

“Saya belum puas berlakon kerana masih banyak watak yang perlu diteroka. Kalau boleh saya nak bawa watak psiko yang apabila peminat tengok akan berasa geram.

“Setakat ini lakonan saya banyak ditayangkan di Astro. Tak dinafikan teringin juga nak muncul di stesen TV lain. Cuma, tawaran belum ada,” terangnya.

Dikenali menerusi drama-drama terbitan Global Station, Syamim menafikan dirinya anak emas syarikat produksi itu.

“Saya bukan anak emas mereka tetapi Cinta Tiada Ganti adalah permulaan karier saya bersama mereka dan boleh dikatakan saya selesa dengan Global Station.

“Mereka nampak bakat dan menaikkan nama saya. Terima kasih tak terhingga saya ucapkan kepada mereka.

“Cuma, kalau boleh saya teringin nak berlakon telefilem pula. Setakat ini rezeki saya hanya menerusi drama bersiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:12 AM