Oleh Ardini Sophia Sina


Bidang seni bukan benda baru buat Syamim Farid, 24. Anak jati Kuala Lumpur itu mula aktif dalam bidang peragaan dan pengiklanan seawal usia 19 tahun dan kekal aktif sehingga hari ini.

Mungkin ramai yang pernah melihat wajahnya dalam iklan seperti Nescafe, Nestle Yogurt Bliss, Fair & Lovely dan Nestle Ais Krim Goreng.

Namun, pengalaman berganding dengan Scha Alyahya dalam iklan Johnson’s Baby Care antara pengalaman paling berharga buat finalis Dewi Remaja 2014/2015 ini.

Katanya, sebelum menyertai pertandingan itu, dia pernah menyertai uji bakat pengacara anjuran majalah yang sama menerusi Her Looks Plus. Bakat dalam bidang pengacaraan dicungkil menerusi uji bakat itu.

“Dari situ saya melangkah masuk satu program. Saya bertuah apabila diberikan kepercayaan mengendalikan rancangan beli-belah pertama di Malaysia sekali gus menjadikan saya pengacara paling muda dalam organisasi itu.

“Walaupun sudah mempunyai laluan untuk mengukuhkan kerjaya sebagai pengacara, saya menyertai pertandingan Dewi Remaja untuk memastikan karier saya lebih kukuh,” katanya.

Tegas Syamim, menjadi anak seni adalah cita-citanya sejak kecil dan percaya penyertaan dalam pencarian Dewi Remaja membantunya mencapai impian itu.

“Bagi saya ini peluang paling berharga bagi meluaskan lagi bakat dan kelebihan pada diri. Walaupun sudah menimba pengalaman, masih banyak yang perlu saya perbaiki.

“Pertandingan itu mengubah personaliti saya menjadi lebih yakin, bertanggungjawab, berdisiplin, positif dan peka dengan keadaan sekeliling.

“Bagi saya, sikap itulah yang perlu diperbaiki dan dikekalkan untuk menjadi anak seni yang berjaya. Saya berharap dapat mengukuhkan nama dan mengembangkan bakat dalam bidang seni terutama pengacaraan,” katanya.

Syamim juga menyimpan impian mengendalikan program bual bicara sendiri dan berharap diberi peluang mengendalikan rancangan berbentuk travelog.

Katanya, impiannya sangat besar mahu menjadi hos disegani. Dia mahu mengikut jejak idolanya, Azizah Ariffin.

“Saya sedar menjadi pengacara yang hebat harus mempunyai tahap kesabaran dan usaha yang tinggi. Kalau boleh, saya mahu mengendalikan program televisyen seperti Mad Markets.

“Saya juga menyimpan angan-angan menjadi pengacara Nona. Sejak kecil lagi saya membayangkan diri saya hos program popular khusus untuk wanita itu.

“Saya tidak kesah bermula dari bawah. Saya sedar proses menjadi seorang pengacara yang mampu mengendalikan rancangan televisyen bukannya mudah. Apa pun, saya akan berusaha ke arah itu,” katanya.

Dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua Dewi Remaja, ada yang mempertikaikan mereka sebenarnya tidak layak dijadikan contoh kepada anak muda.

Bagaimanapun, Syamim mempunyai penjelasan tersendiri mengenai hal itu. Katanya, tidak adil masyarakat mengadili atau menghukum mereka tidak layak menjadi ikon remaja.

“Setiap finalis pertandingan itu mempunyai personaliti berbeza dan memberikan impak kepada anak muda dalam pelbagai cara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:05 AM