Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK pernah tersemat rasa cemburu di hati pelakon cantik Syamim Farid melihat rakan-rakan seangkatan dalam pertandingan Dewi Remaja 2014/15 berjaya mencipta nama di mata peminat.

Sebaliknya Syamim yang bergelar naib juara program ini berbangga apabila melihat Raysha Rizrose, Puteri Aishah, Mawar Rashid dan Fify Azmi semakin rancak menghiasi pelbagai drama di kaca TV.

"Perasaan cemburu memang tiada, malah saya lebih gembira dan bangga apabila tengok ramai rakan yang sama-sama menyertai Dewi Remaja sudah menempa nama dalam industri hiburan.

"Sejak masuk pertandingan itu lagi, kami memang dari dulu menyokong antara satu sama lain. Saya pun ada rezeki sendiri kerana selepas program itu berakhir, saya ditawarkan sebagai pengacara beberapa program sebelum melebarkan sayap dalam lakonan," katanya.

Mula membintangi drama Lelaki Macam Dia, Syamim seterusnya ditawarkan membintangi Mata Cinta dan lakonannya berjaya membuka mata banyak pihak.

Lebih lima tahun membina nama, Syamim gembira dengan apa yang dikecapi setakat ini.

"Alhamdulillah, kedudukan saya dalam bidang lakonan boleh dikatakan stabil. Kebanyakan peminat saya mengenali dan mengikuti saya sejak dari Dewi Remaja dan Hlive. Saya percaya pembabitan dalam bidang lakonan sedikit sebanyak menaikkan nama saya juga.

"Saya tak letakkan populariti sebagai keutamaan, namun saya lebih gembira kalau orang mengenali saya dengan bakat yang saya ada,"

katanya yang berlakon kerana minat yang mendalam.

Menurut Syamim, semenjak menceburi bidang lakonan, ramai yang mengenalinya dengan watak yang dibawakan.

"Kali terakhir saya berlakon ialah sebagai Laila menerusi drama bersiri Dua Takdir Cinta yang ditayangkan di Astro dan habis tayangan pada April lalu. Penggambaran drama ini tamat pada November tahun lalu dan selepas itu saya ambil keputusan berehat seketika.

"Tak sangka pula selepas itu kita semua kena berehat panjang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19," katanya.

Syamim yang baru selesai menjalani pembedahan apendiks mengakui sedikit fobia untuk memulakan kerja ketika Covid-19 belum menunjukkan tanda akan berakhir.

"Mulanya rasa seronok berehat panjang. Tapi apabila sudah 10 bulan berehat rasa rindu pula nak berlakon semula. Sekarang apabila berehat pun ada juga peminat yang bertanya bila nak muncul lagi di kaca TV. Insya-Allah selepas ini saya akan memulakan penggambaran drama terbaru 28 episod yang akan disiarkan di TV3," katanya.

Syamim turut bertuah kerana suaminya, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari Al-Haj menyokong penuh kerjayanya.

"Suami sentiasa sokong minat dan pilihan saya. Malah sepanjang saya berehat pun dia ada juga bertanya bila nak kembali berlakon. Kadangkala dia bergurau bertanya adakah saya tak nak berlakon lagi. Dia adalah penyokong dan pengkritik utama dan setiap kata-katanya saya hargai. Saya sangat menghormatinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:00 AM