Che Puan Syamim Farid mengakui sudah sembilan tahun tidak makan nasi.
Che Puan Syamim Farid mengakui sudah sembilan tahun tidak makan nasi.
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pengacara, Che Puan Syamim Farid mengakui sudah sembilan tahun tidak makan nasi dan menggantikan pengambilan karbohidratnya dengan makanan lain.

Pelakon drama bersiri Dua Takdir Cinta itu berkata, pengalamannya itu tidak terlalu sukar memandangkan suaminya juga turut sama tidak makan nasi.

"Sebenarnya, saya mula untuk berhenti mengambil nasi sebagai makanan utama harian adalah kerana nak bersenam dan menjaga berat badan.

"Alhamdulillah, tahun ini dah sembilan tahun saya tak makan nasi dan tak sukar sangat untuk melakukannya berikutan suami saya juga tidak makan nasi," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada sesetengah individu yang faham dan ada juga yang tak tahu mengenai tabiat pemakanannya itu.

"Kalau ada yang tahu, mereka akan sediakan makanan lain untuk saya dan suami, contohnya ikan dan sebagainya memandangkan kami juga tak makan ayam dan daging.

"Kalau orang yang tak tahu, itu tidak menjadi masalah kerana saya boleh saja makan makanan lain yang disediakan," katanya.

Tambahnya lagi, dia juga terpaksa memaklumkan kepada pihak produksi seperti pengarah mengenai tabiat makanannya jika harus melakonkan babak yang memerlukannya makan.

"Selalunya, saya akan maklumkan awal-awal kepada pihak produksi bila membaca skrip sekiranya ada babak di meja makan. Selalunya, mereka faham dan tak ada masalah," katanya.

Syamim juga berkata, banyak kebaikan yang dirasakannya selepas menjaga pemakanan dan menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Terbaru, drama Dua Takdir Cinta lakonannya masih lagi ditayangkan di Astro Prima dan turut dibintangi pelakon lain seperti Fasha Sandha, Azar Azmi, Fendy Bakry, Zamarul Hisham, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 6:59 PM