Skuad Khas Harian Metro

Songkhla (Thailand): Selain budaya ‘kawtim’ dalam kalangan segelintir pegawai dan anggota penguat kuasa, kewujudan laluan tikus turut menyukarkan lagi usaha membanteras aktiviti penyeludupan dari negara gajah putih ini ke Bukit Kayu Hitam, Malaysia.

Hasil maklumat awam, Skuad Khas Harian Metro meninjau pagar sempadan sebelah negara jiran di pekan Dannok dan agak mengejutkan apabila mendapati banyak lubang atau lorong tikus digunakan sindiket penyeludupan.

Tiga lapisan pagar memisahkan antara kedua-dua negara dikesan dan tinjauan mendapati dua lapis pagar dari Thailand dirosakkan dengan kesan dipotong, dikoyak selain ada dibentuk seperti lubang boleh dilalui orang dewasa.

Walaupun tinjauan hanya dilakukan 300 meter dari pekan Danok melalui jalan raya menuju Padang Besar di kawasan ini saja wartawan mengesan lebih 10 lubang pada pagar.

Mengikut maklumat diceritakan penduduk tempatan, laluan itu bukan saja digunakan untuk menyeludup barangan seperti rokok, sebaliknya migran termasuk etnik Rohingya mencari perlindungan di Malaysia.

LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, pada kebiasaannya sindiket menyembunyikan barangan dan migran di dalam kebun getah sekitar pekan berkenaan.

Jelasnya, aktiviti memindahkan barangan atau migran dilakukan selepas mendapati laluan tikus disahkan selamat untuk dilalui.

“Saya pernah terserempak dengan sekumpulan etnik Rohingya ketika itu mahu diseludup ke Malaysia.

“Ahli sindiket buat mereka macam sekawan lembu, ketika diarah menyusup menerusi lubang di sempadan. Saya percaya mereka datang dari kebun getah berhampiran dan mungkin bersembunyi di sana sementara menunggu laluan tikus selamat digunakan,” katanya.

Tinjauan mendapati di tengah-tengah antara pagar kedua-dua negara, ada beberapa batu sempadan berukir tulisan Thailand-Malaysia selain sebaris lagi pagar dibina atas no mans land yang terdapat kesan dirosakkan.

Kami menyusup denai melalui lubang dari pagar di Dannok kemudian ke satu pagar terletak di tengah sebelum dapat melihat dengan jelas pagar Malaysia setinggi 2.4 meter dipasang gulungan kawat berduri di atasnya.

Skuad Khas Harian Metro difahamkan hampir mustahil sekiranya mahu memanjat dan melepasi gulungan kawat berduri itu kerana apabila tersangkut, pergerakan akan tersekat.

LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Berdasarkan mata kasar, kami tidak menemui lubang di pagar Malaysia itu. Persoalannya bagaimana pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh memasuki negara kita menerusi pagar dipasang gulungan kawat berduri?

Malah, difahamkan, pernah beberapa kali pihak berkuasa Malaysia menemui PATI berlindung di hutan dekat Ladang Rakyat Laka Temin, Bukit Kayu Hitam.

Mungkinkah PATI masuk ke Malaysia menerusi pintu pagar di setiap satu kilometer (km) di bahagian pagar Malaysia itu?

Dalam laporan akhbar ini 1 Jun lalu yang memetik Bernama, tembok dan pagar sempadan Malaysia-Thailand sepanjang 29 km dari Padang Besar di Perlis ke Bukit Kayu Hitam di Kedah didapati sudah usang dan tidak lagi kukuh.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah dipetik sebagai berkata, pagar itu kini menjadi laluan utama penceroboh terutama pendatang asing tanpa izin dan golongan ekstrem untuk memasuki Malaysia.

“Perkara ini disedari pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membuat tinjauan. MKN juga sedar implikasi terhadap keselamatan negara.

“Bagi polis, kami kemuka cadangan dan saranan termasuk penggunaan teknologi canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan dron di kawasan panas untuk memberi kawalan maksimum,” katanya.

LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
LALUAN tikus yang digunakan sindiket untuk menyeludup barangan dan migran di pagar sempadan di pekan Danok. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 8:58 AM