LORONG rahsia di Ladang Laka Temin ditutup dengan jeriji besi. FOTO Aizat Sharif
LORONG rahsia di Ladang Laka Temin ditutup dengan jeriji besi. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Bukit Kayu Hitam: Tiada lagi ruang untuk sindiket penyeludupan menyeludup keluar dan masuk barangan dari negara Thailand menggunakan kolong rahsia di Ladang Laka Temin, di sini selepas ruang itu kini ditutup dengan jeriji besi.

Berikutan pendedahan Skuad Khas Harian Metro yang berjaya membongkar kes itu serta ketirisan kawalan penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand pada 25 Julai lalu, polis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah serta pengurusan Kelab Golf Black Forest sudah pun menutup laluan penyeludupan berkenaan menggunakan besi jeriji kekal bagi mengelakkan aktiviti jenayah berkenaan terus bermaharajalela.

Harian Metro yang melakukan tinjauan semula ke kawasan berkenaan mendapati kebanyakan ‘laluan tikus’ yang sering digunakan oleh penyeludup di kolong parit di kawasan kini sudah pun ditutup.

Jeriji besi berwarna biru yang diletakkan di kolong pada parit berkenaan menutup segala ruang masuk yang ada di kolong terbabit dan agak sukar untuk barangan besar dihanyutkan ke seberang kolong kerana ia pasti akan tersangkut pada jeriji berkenaan.

Malah, dengan adanya jeriji itu juga, orang ramai terutama anggota sindiket penyeludup untuk memasuki ke dalam kolong berkenaan dan jeriji itu juga menjadi peragkap kepada sampah yang banyak terdapat dalam parit berkenaan.

Perkembangan berkenaan bagaimanapun tidak bermakna kegiatan penyeludupan kawasan berkenaan terus terhenti kerana tinjauan selama satu jam setengah di kawasan itu juga mendapati banyak anggota sindiket terutama tonto berkeliaran bebas di kawasan itu menggunakan motosikal.

Malah, kehadiran wartawan di kawasan itu juga menimbulkan syak di kalangan mereka sehingga salah seorang daripada tonto berkenaan bertanyakan mengenai tujuan berada di kawasan berkenaan selepas dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan.

Demi keselamatan, wartawan pun segera meninggalkan tempat terbabit.

Namun begitu, kehadiran peronda polis bermotosikal yang melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan itu sekurang-kurangnya memberi kesukaran kepada anggota sindiket untuk terus menjalankan kegiatan mereka di kawasan berkenaan.

LAPORAN Harian Metro, 25 Julai 2018. FOTO NSTP
LAPORAN Harian Metro, 25 Julai 2018. FOTO NSTP

Pada 25 Julai lalu, akhbar ini menyiarkan laporan khas berkenaan ‘Kolong Bebas Cukai’ yang meninjau keadaan sekitar perumahan penduduk Ladang Rakyat Laka Temin dan Kelab Golf Black Forest di sempadan Malaysia/Thailand yang didapati lengang.

Malah, tiada pergerakan mencurigakan walaupun kawasan berkenaan cukup dikenali sebagai laluan utama memasuki negara ini secara haram sebaik melepasi pintu pagar sempadan.

Rahsianya hanya muncul sebalik tembok pagar batu setinggi dua meter dan pagar kawat setinggi tiga meter yang memagari kawasan berkenaan apabila didapati wujud satu laluan rahsia yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludup menggunakan satu kolong khas sepanjang hampir 20 meter menghubungkan kedua-dua kawasan.

Kolong berkenaan adalah binaan longkang takungan air banjir yang mengalir dari tasik di kelab golf berkenaan sekiranya berlaku hujan lebat luar biasa namun ia turut menjadi ‘laluan tikus’ sejak setahun lalu oleh anggota sindiket untuk keluar dari kawasan berkenaan.

Dengan melalui kolong berkenaan, sindiket penyeludupan tidak perlu melepasi CIQ Malaysia. Mereka hanya perlu melepasi CIQ Sadao di sempadan sebelum memasuki kawasan Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam dan terus ke kelab golf berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 10:00 AM