BASIKAL oBike rosak akibat perbuatan vandalisme dipercayai angkara individu tidak bertanggungjawab di sekitar  Jalan Dato Keramat.
BASIKAL oBike rosak akibat perbuatan vandalisme dipercayai angkara individu tidak bertanggungjawab di sekitar Jalan Dato Keramat.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kemudahan kelas pertama mentaliti tahap ketiga apabila kemudahan pengangkutan, tetapi awam seperti oBike yang bertujuan memudahkan orang ramai untuk ke destinasi masing-masing terutama dalam jarak dekat kini menjadi mangsa vandalisme pihak tertentu hingga mengundang pelbagai masalah lain.

Ironinya, kemudahan pengangkutan itu yang sudah bertapak di bandar raya ini lebih setahun lalu memberi pilihan lain kepada orang ramai untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan menggunakan basikal untuk ke destinasi masing-masing.

Namun, kemudahan berkenaan yang semakin berkembang ke bandar utama mula mendapat ‘perhatian’ tangan gatal apabila mencabut komponen basikal terbabit malah lebih buruk lagi membuang kenderaan di kiri dan kanan jalan hingga mengganggu pejalan kaki.

Tinjauan Harian Metro di Pantai Dalam, Bangsar, Jalan Chow Kit dan Jalan Pasar, di sini, mendapati ada antara basikal berkenaan hanya tinggal rangka manakala turut dibuang begitu saja tanpa diletakkan di tempat yang sudah disediakan.

Antara kawasan yang boleh dilihat kesan vandalisme basikal milik oBike adalah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) apabila kenderaan itu dicampak begitu saja di kawasan berkenaan tanpa diuruskan dengan betul oleh pihak berkaitan.

Seorang penghuni PPR Pantai Dalam, Ismail Abdul Rahmen, 56, berkata, dia sebelum ini ada menegur sekumpulan remaja yang cuba merosakkan basikal terbabit dengan menanggalkan beberapa komponen kenderaan itu.

“Saya tidak berani untuk menegur lebih-lebih kumpulan remaja berkenaan namun selalu nampak mereka bermain dengan basikal berwarna kuning yang digunakan sebagai pengangkutan awam.

“Ada antara basikal dicabut alat sistem penentu kedudukan global (GPS), sekali gus mereka bebas menggunakannya tanpa perlu membayar,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Ahmad Bukhari Yusnan, 30, berkata, tindakan susulan perlu diambil oleh pihak berkaitan supaya kemudahan awam itu tidak disalah guna hingga menyusahkan orang ramai.

Katanya, kebanyakan pengguna kemudahan berkenaan meletakkan basikal di merata tempat selain ada antaranya dicampak di tepi jalan kerana mengetahui tiada tindakan bakal dikenakan terhadap mereka.

“Basikal berkenaan sememangnya memberi kemudahan kepada orang ramai untuk ke destinasi masing-masing terutama di sekitar bandar raya ini tanpa perlu menunggu bas atau teksi.

“Malangnya ia menjadi mangsa vandalisme pihak tertentu yang suka mencuri komponen berkenaan mungkin untuk memperoleh wang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 10:00 AM