CHAN (lima dari kiri) pada majlis mendatangani persefahaman antara IME Group dan oBike di Ciao Ristorante.
CHAN (lima dari kiri) pada majlis mendatangani persefahaman antara IME Group dan oBike di Ciao Ristorante.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali basikal tanpa stesen pertama negara, oBike tidak akan membina tempat letak kenderaan itu walaupun berdepan masalah akan disita pihak berkuasa tempatan (PBT) jika didapati menghalang laluan pejalan kaki atau diletakkan di kawasan larangan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran oBike Edward Chan berkata, pembinaan tempat letak basikal di beberapa kawasan tumpuan di sekitar bandar raya ini memerlukan kos tinggi, selain perlu dibina di kawasan lebih strategik.

Beliau berkata, walaupun bakal berdepan denda oleh PBT, oBike akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi merangka alternatif lain supaya mendidik pengguna lebih bertanggungjawab dengan meletakkan basikal di kawasan bersesuaian.

“Kami menggunakan pendekatan mendidik orang ramai yang menggunakan basikal supaya meletakkan kenderaan di kawasan bersesuaian iaitu tidak menghalang pejalan kaki atau kenderaan lain.

“Konsep oBike adalah memudahkan orang ramai dan paling utama mesra alam. Oleh itu, tiada keperluan membina tempat letak basikal kerana berkemungkinan menyusahkan pengguna nanti,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian eksklusif oBike bersama Kumpulan IME, di sini, semalam.

Perjanjian berkenaan membolehkan orang ramai menggunakan basikal yang disediakan oBike untuk ke konsert anjuran Kumpulan IME secara percuma yang bakal berlangsung di Singapura, Malaysia, Thailand dan Taiwan.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) menyita lebih 250 basikal oBike yang diletakkan di sekitar jalan raya kerana didapati menghalang laluan pejalan kaki dan kenderaan lain.

Tindakan berkenaan diambil selepas MBPJ menerima aduan daripada orang ramai berkaitan masalah terbabit sekali gus menuntut pihak oBike membayar RM17,000 jika mahu mendapatkan kembali basikal terbabit.

Sementara itu, Chan berkata, setakat ini oBike memiliki 10,000 basikal yang beroperasi di beberapa kawasan Lembah Klang dan bilangan akan bertambah dalam masa terdekat bergantung kepada permintaan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:45 AM