DERETAN basikal oBike yang sedia untuk disewa. Gambar kecil, Ian menunjukkan aplikasi oBike di Malaysia. FOTO Saifullizan Tamadi.
DERETAN basikal oBike yang sedia untuk disewa. Gambar kecil, Ian menunjukkan aplikasi oBike di Malaysia. FOTO Saifullizan Tamadi.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Penggemar atau peminat aktiviti berbasikal pasti terpegun dengan deretan basikal berwarna kuning serta putih yang disusun rapi di lokasi utama pejalan kaki sekitar ibu kota.

Begitu juga dengan penulis yang merasai pengalaman pertama menggunakan perkhidmatan oBike walaupun ia dilancarkan di Malaysia pada April lalu.

Penggunaannya sangat mudah dan dalam mencari lokasi basikal, ia hanya menggunakan Sistem Pengesanan Global (GPS), malah serupa dengan perkhidmatan Grab dan Uber.

Pertama sekali, penulis perlu memuat turun aplikasi oBike di dalam telefon pintar di Google Playstore atau Apple Appstore.

Ternyata memilih basikal sebagai medium perkhidmatan awam untuk jarak dekat khususnya dari stesen transit aliran ringan (LRT) ke tempat kerja sangat mudah, pantas dan berpatutan.

Menggunakan perkhidmatan berkenaan pada jam 10 pagi sebelum memasuki pejabat, penulis sangat teruja, tetapi perlu mendaftar menggunakan kad debit atau kredit di dalam aplikasi oBike.

Apa yang menarik, penulis hanya menyertakan bayaran deposit sebanyak RM49 sebagai promosi sempena Sukan SEA Kuala Lumpur sehingga 30 September ini berbanding deposit biasa iaitu RM129 yang juga dapat dituntut pada bila-bila masa saja.

Malah, hanya dengan memuat naik kad pelajar di dalam aplikasi itu, mereka berhak mendapat harga istimewa iaitu RM19.

Bermula di LRT Masjid Jamek, penulis yang sudah mendaftar sebagai ebiker mengambil peluang menaiki basikal itu dengan mencari lokasi basikal yang terletak di sekitar LRT seterusnya mengimbas kod QR yang tertera di bahagian hadapan dan belakang tayar basikal.

Sebaik saja kuncinya dibuka dan berbunyi ‘beep’, tanpa berlengah penulis mula mengayuh ke Dataran Merdeka dengan caj RM1 selama 15 minit dan memang keterujaan itu terbukti kerana tidak perlu berjalan atau menaiki kereta memandangkan kawasan dataran ditutup untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Jika dilihat dari sudut positif, perkhidmatan ini pasti efektif dan memberi nilai tambah kepada seseorang terutama untuk sampai ke lokasi jarak dekat sama ada untuk ke destinasi santai atau tempat kerja

Mereka tidak perlu lagi menunggu lama bagi mendapatkan kenderaan awam ke destinasi yang ingin dituju dan aktiviti berbasikal seperti ini juga bersifat mesra alam sekitar memandangkan ia tidak memberi ancaman pencemaran seperti kebanyakan kenderaan lain di jalan raya yang menggunakan bahan api.

Selain itu, penulis juga cuba menaiki oBike yang disediakan di kawasan kampus seperti di Universiti Malaya (UM).

Sejurus meletak kenderaan di kawasan dibenarkan, penulis terus mendapatkan oBike dan mengayuh sekitar kampus serta penggunaannya di kawasan kampus sungguh menyeronokkan dan boleh mengelakkan kesesakan.

Bagi penulis, perkhidmatan itu sungguh pasti akan memudahkan kakitangan atau pelajar untuk tidak berebut tempat letak kereta, malah dapat menggalakkan gaya hidup sihat.

Namun, sepanjang menikmati pengalaman menaiki oBike ini, penulis merasakan pelbagai aspek perlu dititikberatkan lagi seperti aspek keselamatan kerana ia tidak bersesuaian dengan jalan raya yang berbahaya lagi sesak.

Dalam pada itu, basikal yang diletak di kawasan motosikal atau laluan utama pejalan kaki terdedah dengan kegiatan vandalisme daripada individu minda kelas ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 4:52 AM