BASIKAL ditinggalkan begitu saja di bawah pokok tanpa diselenggara.
BASIKAL ditinggalkan begitu saja di bawah pokok tanpa diselenggara.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun beroperasi, kualiti perkhidmatan basikal oBike menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai apabila dilihat terabai tanpa diurus selia pihak pengurusan selain tidak digunakan secara berhemah oleh pengguna.

Basikal terbabit yang sepatutnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor, sekali gus menjadikan persekitaran bebas asap turut menjadi mangsa vandalisme.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Universiti Malaya (UM), di sini, yang menjadi antara lokasi pilihan basikal itu diletakkan mendapati tempat letak basikal kosong dan ada juga basikal yang dibiarkan begitu saja tanpa diselenggara.

Malah ada pihak tidak bertanggungjawab menjual basikal itu dengan harga serendah RM100 di laman beli-belah dalam talian.

Pelajar Akademi Pengajian Islam UM, Awang Mohd Sharianshah Awang Idris, 20, berkata, masalah vandalisme membuatkan dia jarang menggunakan perkhidmatan basikal itu.

“Siapa mahu guna kalau basikal sudah rosak. Sepanjang berada di UM, saya hanya sempat menggunakannya selama seminggu ketika minggu haluan siswa.

“Selepas itu, saya tidak nampak lagi basikal terbabit di kawasan kampus dan kalau ada pun, yang sudah rosak,” katanya sambil memberitahu, pelajar UM lebih gemar menggunakan perkhidmatan Uniride iaitu basikal elektrik yang diperkenalkan universiti terbabit.

PERKHIDMATAN Uniride iaitu basikal elektrik Universiti Malaya  lebih mudah buat pelajar.
PERKHIDMATAN Uniride iaitu basikal elektrik Universiti Malaya lebih mudah buat pelajar.

Pengguna, Siti Halwa Ahmad, 23, berkata, dia sudah tidak menggunakan oBike memandangkan sukar untuk mendapatkan basikal.

“Dulu basikal banyak tetapi sekarang susah hendak dapat. Kebanyakan basikal juga sudah diambil oleh pemiliknya selain dicuri.

“Lagipun di dalam Hospital Canselor Tuanku Muhriz, tiada keperluan sangat untuk basikal itu diletakkan kerana jarak antara lokasi sangat dekat.

“Saya pernah nampak orang luar mengambil basikal itu dengan memecahkan kunci yang terdapat padanya,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan pengurusan oBike Malaysia mengenai isu berbangkit terbabit gagal berikutan tiada jawapan diberikan walaupun pertanyaan sudah diajukan menerusi e-mel dan perbualan telefon sejak 19 September lalu.

Basikal oBike yang dilengkapi Sistem Kedudukan Global (GPS) mula diperkenalkan di Malaysia pada April tahun lalu dengan menyediakan lebih 10,000 unit basikal.

Dalam pada itu, media Singapura pada Jun lalu melaporkan operasi oBike di negara terbabit dihentikan kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat.

Penamatan perkhidmatan itu bagaimanapun hanya di Singapura dan oBike masih beroperasi di beberapa negara lain seperti Indonesia, Belgium, Perancis dan Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 12:02 PM