PUSINGAN pertama Cub Prix berlangsung hujung Mac depan.
PUSINGAN pertama Cub Prix berlangsung hujung Mac depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kerajaan diharap memberikan lampu hijau kepada Kejuaraan Cub Prix Malaysia untuk dilangsungkan mengikut jadual bermula pusingan pertama hujung Mac depan.

Pengarah Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg selaku penganjur perlumbaan itu berkata, ketika ini pihaknya masih belum pasti adakah mereka dibenarkan menganjurkan perlumbaan.

"Kami mengharapkan penjelasan daripada pihak berkaitan seperti MKN (Majlis Keselamatan Negara) berhubung penganjuran sukan permotoran. Jika penganjuran tidak dibenarkan sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), maka kami memahami situasi itu.

"Tapi jika ia masih tidak dibenarkan selepas tempoh itu, sudah pasti akan menyukarkan perancangan kami," katanya ketika dihubungi.

Jelas Ron, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan akan menemui Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

"Kami sedia mengikuti segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan dan sudah mempunyai pengalaman menganjurkan perlumbaan ketika situasi pandemik pada musim lalu," katanya.

Sebelum ini kerajaan sudah memberikan lampu hijau kepada beberapa acara sukan termasuk Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Hoki Malaysia (MHL) untuk menganjurkan kejohanan tetapi perlu mengikut konsep gelembung sukan.

Berdasarkan kalendar perlumbaan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur, pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix akan bermula 20 Mac di Litar Antarabangsa Sepang.

Selepas itu terdapat sembilan lagi pusingan perlumbaan yang dijadual berakhir pada Disember.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 10:51 PM