Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO File NSTP
Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran agar kejohanan sukan permotoran di negara ini dapat dianjurkan demi survival industri berkenaan.

Jelas Hafizh, untuk memenuhi impian itu, penganjur mungkin boleh membentangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat kepada pihak kerajaan terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Apa yang saya nampak amalan biasa di MotoGP seperti yang pernah saya lalui ialah setiap mereka yang terbabit perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan menyertai kejohanan.

"Jika keputusan negatif, barulah dibenarkan untuk memasuki pit, kalau sebaliknya tak boleh datang langsung dan dikenakan kuarantin.

"Mungkin ini adalah salah satu cara terbaik bagi meyakinkan pihak berkenaan seperti MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk memberi kelonggaran agar perlumbaan dapat dianjurkan semula, tidak kira dua atau empat roda," katanya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi perbincangan dengan MKN sebelum ini menyatakan penganjuran kejohanan ketika ini hanya terhad kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Namun kesemua penganjuran kejohanan itu perlu melalui program latihan berpusat secara kuarantin yang menggunakan model gelembung sukan.

Antara penganjuran yang dirancang membabitkan sukan permotoran adalah Kejuaraan Cub Prix Malaysia yang dijadual bermula 20 Mac di Litar Antarabangsa Sepang.

Selepas itu terdapat sembilan lagi pusingan perlumbaan yang dijadual berakhir pada Disember.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:26 PM