KEJUARAAN Cub Prix belum dapat lampu hijau untuk memulakan perlumbaan lebih awal.
KEJUARAAN Cub Prix belum dapat lampu hijau untuk memulakan perlumbaan lebih awal.
Saiful Affendy Sapran


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat memberi kelonggaran kepada sukan permotoran untuk menganjurkan perlumbaan lebih awal.

Pengarah Urusan Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd yang juga promoter bagi acara kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, Ron Hogg berkata, ini kerana kesemua 1,400 pekerja yang terbabit dengan perlumbaan itu berdepan risiko semakin 'tenat' sekiranya masih belum mendapat lampu hijau untuk menganjurkan perlumbaan.

Menghargai pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang akan berusaha mendapatkan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk sukan permotoran boleh menganjurkan perlumbaan, Ron percaya semua yang terbabit dalam industri itu dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami hanya mahu satu permintaan sahaja iaitu dapat berlumba secepat mungkin. Ini kerana saya rasa sukan permotoran boleh mengamalkan SOP seperti penjarakan sosial dan kurang berisiko bersentuhan antara satu sama lain.

"Jika tiada perlumbaan, maka ia akan menjejaskan pendapatan kru pasukan serta pelumba kerana kebanyakan mereka tidak akan dibayar gaji oleh penaja pasukan masing-masing. Pendek kata, ada perlumbaan barulah ada gaji.

"Bertambah buruk jika perlumbaan hanya mula dianjurkan pada September iaitu selepas berakhir PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan). Saya bimbang ada pasukan yang tak dapat bertahan dan terpaksa menarik diri kerana kehilangan penaja.

"Kemudian ia akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk satu-satu pasukan itu beraksi semula di Cub Prix," katanya.

Jelas Ron, pihaknya sedang berusaha untuk mengatur pertemuan dengan Reezal bagi menerangkan lebih lanjut pelbagai perkara termasuk SOP yang disediakan oleh pihaknya.

"Kami juga merancang untuk mengadakan sesi latihan pada hujung bulan ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan mengaplikasikan SOP. Kami harap ada wakil dari KBS dapat melihat perjalanan sesi latihan itu supaya mereka lebih yakin bahawa ia boleh dilaksanakan pada perlumbaan sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 2:26 PM