PERLUMBAAN Cub Prix yang berlangsung sebelum ini di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO FB Malaysian Cub Prix
PERLUMBAAN Cub Prix yang berlangsung sebelum ini di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO FB Malaysian Cub Prix
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penganjur perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Safe Aim Mutual (SAM) membayangkan saingan yang sudah mendapat lampu hijau untuk diteruskan musim ini berkemungkinan diadakan secara dua pusingan dalam satu gelembung sukan.

Menurut Pengarah SAM, Ron Hogg, mereka akan membuat perincian mengenai aksi yang dibenarkan bersambung semula itu selepas dibenarkan menganjurkan perlumbaan di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pada masa ini saya rasa semua sudah tahu secara umum kejohanan sukan dibenarkan dianjurkan di negeri Fasa 2. Jadi secara praktikal perlumbaan akan disambung semula bulan depan dan semua akan berkampung di negeri Fasa 2 bulan depan," katanya dalam sidang media hari ini.

Ujanya, pengumuman terbaru itu memberi kelegaan kepada mereka namun perincian akan dibuat semula selepas menyedari kos yang ditanggung pasukan bakal meningkat.

"Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis adalah negeri di bawah Fasa 2 jadi kita boleh gunakan lokasi di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu. Itu adalah sasaran kita setakat ini.

"Pada masa ini kita akan anjurkan perlumbaan ikut format gelembung yang dibenarkan, pelan kita setiap kali ada gelembung kita akan anjurkan dua pusingan serentak. Bagaimanapun, kita harap Fasa 2 ini sementara kerana penganjuran agak mahal kosnya.

"Kita harap secepat mungkin berpindah ke Fasa 3 walaupun buat masa ini setiap pasukan setuju ia dianjurkan di Fasa 2. Setakat ini tidak ada pasukan menarik diri, semua ingin berlumba kerana mempunyai kontrak dengan penaja. Belum dengar ada yang mahu tarik diri walaupun memang beban buat semua orang jika ia dianjurkan di Fasa 2," katanya.

Jelas Ron, di Fasa 2 nanti semua yang terbabit dalam perlumbaan akan tinggal di satu atau dua lokasi yang ditetapkan dan semua ahli pasukan (bukan hanya pelumba) perlu menjalani ujian calitan RTK Antigen sebelum memasuki gelembung.

"Kita juga sedang menunggu dan tidak membuat apa-apa keputusan kerana mana tahu Selangor sudah tidak ada dalam Fasa 1. Kita perlu bersedia dalam apa jua keadaan. Paling penting sekarang ini Kementerian Belia dan Sukan bagi kelulusan untuk menyambung semula perlumbaan.

"Bagi pihak kejuaraan Cub Prix kami berterima kasih kepada KBS kerana mereka antara tulang belakang utama untuk memperoleh kebenaran menyambung semula perlumbaan ini. Terima kasih juga kepada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana semua membantu sedikit sebanyak perlumbaan boleh bermula sekali lagi dan harap sukan di Malaysia kembali seperti biasa," katanya.

Kejuaraan Cub Prix yang membabitkan 10 pusingan musim ini tertangguh apabila saingan pusingan ketiga yang sepatutnya berlangsung di Tangkak, Johor Mei lalu ditunda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:44 PM