KEJOHANAN Superbike Malaysia dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Disember ini. FOTO Malaysia Superbike Championship
KEJOHANAN Superbike Malaysia dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Disember ini. FOTO Malaysia Superbike Championship
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan penganjuran sukan termasuk acara sukan permotoran bermula 1 Januari 2021 selepas memberi lampu hijau penganjuran semula Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, ia membolehkan beberapa perlumbaan yang dirancang selepas ini dapat dilangsungkan.

"MAM sememangnya berharap sukan permotoran ini dibenarkan untuk semua kejohanan bukan sahaja Cub Prix.

"Alhamdulillah, MAM berterima kasih di atas keprihatinan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membenarkan penganjuran sukan bermula 1 Januari 2021," katanya.

"Tapi MAM memohon sedikit kelonggaran lagi diberikan daripada pihak MKN agar membenarkan penganjuran perlumbaan Rotax Max pada (26-27 Disember) serta Kejohanan Superbike Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 29 hingga 31 Disember 2020," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian semalam berkata, bermula 1 Januari penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan untuk dianjurkan.

Rabu lalu, promoter kejuaraan Cub Prix Malaysia, Safe Aim Mutual Sdn Bhd menarik nafas lega apabila baki empat pusingan perlumbaan itu dibenarkan untuk berlangsung.

Bagaimanapun kalendar terkini perlumbaan itu sedikit berbeza dari yang biasa di mana empat pusingan terakhir itu perlu diselesaikan melalui enam hari perlumbaan berturut-turut di Litar Sepang Utara.

Pusingan kelima dan keenam berlangsung bermula semalam sehingga 20 Disember manakala pusingan tujuh dan lapan akan bermula dari 22 hingga 24 Disember.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 9:37 PM