PENTING bagi kenal pasti jenis sakit kepala bagi elak masalah lebih serius.
PENTING bagi kenal pasti jenis sakit kepala bagi elak masalah lebih serius.
Amir Mamat

Hampir semua orang pernah mengalami sakit kepala.

Bezanya mungkin ia dalam tempoh singkat dan tidak terlalu sakit, malah ada pula berlarutan dengan kesakitan yang teramat.

Namun begitu, sakit kepala yang dialami perlu dikenal pasti sama ada serangan dialami itu biasa atau bahaya sehingga boleh memudaratkan tahap kesihatan diri.

Selama ini, mungkin ada yang menganggap sakit kepala mesti disebabkan rasa pening atau pusing. Namun, penting untuk mengenal pasti jenis sakit kepala yang menyerang.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir berkata, terdapat dua kategori sakit kepala iaitu primer dan sekunder.

Katanya, sakit kepala jenis primer boleh menggangu aktiviti harian, tetapi ia selalunya tidak membahayakan kesihatan pesakit.

Namun, sakit kepala sekunder perlu dikenal pasti kerana ia mungkin akan membahayakan nyawa pesakit.

"Antara jenis sakit kepala jenis primer termasuk migrain, tekanan (tension headache) dan kluster. Statistik menunjukkan wanita lebih ramai menghidap migrain berbanding lelaki.

"Jenis sakit kepala boleh dikenal pasti berdasarkan corak simptom sakit kepala tersebut seperti lokasi, kekerapan dan tempoh sakit kepala yang terjadi.

Pakar Perunding Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Mohd Fikri Nasir.

"Untuk ketiga-tiga jenis sakit kepala ini, ia boleh dirawat dengan mengambil ubatan seperti paracetamol, 'non-steroidal anti-inflammatory drugs' (NSAID) atau triptans. Bagi pesakit migrain, mereka perlu mengelakkan beberapa jenis makanan seperti coklat, keju ataupun kopi," katanya.

Mohd Fikri berkata, bagi kategori sakit kepala jenis sekunder pula, adalah amat penting untuk memastikan tiada penyakit lain yang menjadi penyumbang kepada sakit kepala tersebut.

Antara contoh penyakit ini adalah seperti tumor otak, pendarahan otak dan meningitis. Kategori sakit kepala sekunder biasanya lebih serius dan memerlukan rawatan segera.

Menurutnya, terdapat beberapa simptom bahaya (red flag) yang perlu diberi lebih perhatian dan pesakit perlu segera berjumpa doktor sekiranya mengalaminya.

Antara simptom ini termasuk kerap sakit kepala bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas, sakit kepala tiba-tiba yang teruk, demam dan juga kemerosotan berat badan.

"Apabila mengalami sakit kepala yang lebih teruk ketika berbaring (positional headache), pesakit perlu mendapatkan rawatan dan menjalani Tomografi Berkomputer atau CT Scan kerana ini mungkin menunjukkan tanda-tanda terdapat tumor di dalam kepala.

"Simptom lain yang perlu diberi perhatian juga adalah apabila berlakunya gangguan saraf seperti kesukaran mengangkat tangan, penglihatan terjejas atau kehilangan keseimbangan badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 6:43 AM