FOTO Rosela Ismail
FOTO Rosela Ismail
Zaitie Satibi


SENGSARA akibat sakit kepala kadangkala sukar diungkapkan kerana gejala seperti berdenyut-denyut, menghimpit, kesakitan yang tidak henti-henti atau sementara berbeza bagi setiap orang.

Sakit kepala boleh datang spontan atau berkaitan dengan sesuatu aktiviti yang dilakukan.

Bahagian yang sakit juga mungkin membabitkan sebahagian muka, atas kepala atau keseluruhan kepala.

Jenis sakit kepala diklasifikasikan kepada peringkat pertama (primer) iaitu kesakitan muncul terus daripada masalah struktur dalam kepala yang sensitif kepada kesakitan termasuk perubahan hormon.

Peringkat kedua (sekunder) kesakitan disebabkan masalah kesihatan lain seperti pendarahan dalam kepala, ketumbuhan otak dan kecederaan leher.

Bagi sakit kepala peringkat pertama, ia terbahagi kepada tiga jenis iaitu migrain, tegang dan kelompok.

Migrain adalah sakit kepala yang menyerang secara berulang, biasanya berlaku pada sebelah kepala sahaja sebelum melarat ke kedua-dua belah bahagian kepala.

Malah, migrain juga menyebabkan gejala seperti pening, loya, muntah, cirit-birit dan sensitif terhadap bunyi dan cahaya.

PELANCARAN kempen Beat Migraine Back dihadiri Ketua Francais Imunologi, Hepatologi, Dermatologi dan Neurosains Novartis Malaysia, Bernice Chan (kanan) dan Dr Julia. FOTO Rosela Ismail
PELANCARAN kempen Beat Migraine Back dihadiri Ketua Francais Imunologi, Hepatologi, Dermatologi dan Neurosains Novartis Malaysia, Bernice Chan (kanan) dan Dr Julia. FOTO Rosela Ismail

Migrain dikelaskan sebagai penyakit saraf kronik yang boleh menyerang dengan amaran dan tanda-tandanya sebelum sakit kepala seperti muncul aura iaitu nampak kilauan cahaya, garisan zigzag, penglihatan berbayang dan pening.

Namun, migrain juga boleh menyerang tanpa amaran dan biasa dialami wanita terutama ketika haid. Pencetus migrain juga boleh disebabkan makanan tertentu, tekanan, kurang tidur, terlebih tidur dan tabiat merokok.

Sakit kepala akibat migrain boleh berlarutan hingga beberapa jam atau hari dan menyerang beberapa kali sebulan.

Selain mengambil ubat (yang dibeli di farmasi), migrain boleh dikawal dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan perkara yang dikenal pasti sebagai pencetus sakit kepala ini.

Situasi masalah migrain di Malaysia pada masa kini tidak diketahui, tetapi berdasarkan kajian pada 1996, seramai 1.9 juta rakyat Malaysia menghidapi penyakit ini.

Ini adalah isu penting kerana pesakit migrain perlu melalui pelbagai rawatan berulang bagi mencegahnya.

Perkara ini berlaku kerana kurangnya keberkesanan atau kesan sampingan yang tidak terkawal.

Migrain sering terjadi sewaktu umur puncak yang produktif iaitu pada lingkungan umur 25 hingga 55 tahun dan mampu menimbulkan pelbagai masalah lain.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan RM83.9 bilion beban kos berlaku akibat masalah ini.

Selain itu, kurangnya diagnosis juga meningkatkan masalah migrain.

Lebih dua pertiga pesakit migrain tidak mendapatkan rundingan doktor berkaitan penyakit ini atau berhenti berbuat demikian.

Mereka bergantung pada ubat penghilang sakit jika berlaku migrain.

Lebihan penggunaan ubat ini akan membahayakan lagi pesakit apabila penggunaan sembilan hingga 15 hari boleh menyebabkan sakit kepala akibat lebihan pengambilan ubat.

Pakar neurologi dan sakit kepala, Dr Julia Shahnaz Merican berkata, migrain adalah penyakit musuh dalam selimut kerana ia bukan sekadar sakit kepala biasa.

Katanya, ini kerana, kesakitan yang berlaku daripada serangan migrain cukup bahaya sehingga boleh mengakibatkan ketidakupayaan.

PESAKIT migrain diserang sakit kepala kronik secara berulang.
PESAKIT migrain diserang sakit kepala kronik secara berulang.

“Kesan seperti loya dan sensitiviti melampau kepada rangsangan deria seperti cahaya dan bunyi akan menjadikan badan pesakit tidak mampu berfungsi dengan baik.

“Bagi mendapatkan kelegaan, mereka hanya mampu berdiam diri di dalam bilik gelap.

“Pesakit migrain juga sering merungut kerana merasakan mereka dihukum dan disalah erti.

“Ia tidak mengejutkan, malah migrain sering dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan.

“Oleh itu, pesakit diminta tidak berdiam diri sebaliknya meminta bantuan daripada doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kempen Beat Migraine Back anjuran syarikat farmaseutikal, Novartis Malaysia sempena pelancaran rawatan baharu untuk migrain, suntikan erenumab Pasurta bagi mencegah penyakit berulang.

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Urusan Novartis Malaysia, Patrik Grande.

Kempen yang juga sebahagian daripada Program Jangkauan Komuniti dan boleh dilayari menerus laman media sosial www.facebook.com/BeatMigraineBack/ bertujuan menyediakan pesakit migrain dengan maklumat penting dan peluang untuk bertemu dengan pesakit lain yang turut menghidap migrain.

Selain laman sosial, aplikasi telefon pintar Migraine Buddy juga boleh dimuat turun bagi membantu pesakit migrain menguruskan penyakit mereka.

Diari pesakit dalam talian ini boleh menjadi rekod maklumat penting sejarah pesakit migrain.

Pengenalan kepada rawatan migrain baharu ini adalah komitmen jitu Novartis dalam mencipta masa hadapan ubatan bagi membantu pesakit hidup lebih bahagia dan berpanjangan.

Suntikan bulanan bagi mencegah migrain adalah rawatan yang diperakui dan menumpukan kepada saraf peptida berkaitan kalsitonin (CGRP) yang memainkan peranan penting dalam masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 5:10 AM