MITOS beri mudarat kepada pesakit migrain sedangkan kafein antara bahan untuk rawatan. - FOTO Pexels
MITOS beri mudarat kepada pesakit migrain sedangkan kafein antara bahan untuk rawatan. - FOTO Pexels
Nurul Husna Mahmud


Mitos yang kerap dikaitkan dengan penyakit migrain ialah pesakit tidak boleh minum kopi. Ini kerana 'kononnya' kafien dalam minuman itu boleh memburukkan gejala sakit kepala yang dialami.

Berlainan pula fakta ditemui Pakar Perunding Bedah Otak dan Tulang Belakang (Neurosurgeon) Hospital Pantai Ampang, Dr Arulkanesh Devatathan yang mendapati kafein antara ramuan digunakan dalam penghasilan ubat merawat penyakit migrain.

Hakikat itu menyangkal tanggapan ramai orang berkenaan pengambilan kopi yang boleh memudaratkan gejala penyakit terbabit.

"Banyak mitos mengenai migrain 'berlegar' dalam masyarakat kita dan kebanyakannya kurang tepat.

"Paling popular atau banyak ditanya pesakit kepada pakar perubatan termasuk saya sendiri ialah sama ada pesakit migrain boleh minum kopi atau tidak.

"Sedangkan apa yang saya pelajari dan jurnal perubatan memberi jawapan perkara sebaliknya. Kopi antara ramuan digunakan dalam ubat untuk merawat migrain," katanya.

Tambah pakar itu lagi, migrain antara tiga senarai teratas bagi kes kesakitan kepala tanpa sebab atau 'Primary Headache' (sakit kepala primer) yang dirujuk kebanyakan pesakit.

Hal itu masih tidak membantu orang ramai termasuk pesakit migrain itu memahami penyakit terbabit.

"Selain itu, ramai juga menyangkakan stres antara pencetus kepada serangan migrain. Sedangkan penjelasan lebih tepat ialah sakit kepala tekanan (Tension-Type Headache) adalah sakit kepala berpunca daripada stres.

"Gejala sakit kepala berbeza untuk sakit kepala disebabkan serangan migrain dan sakit kepala tekanan dicetuskan stres," katanya.

Pakar itu menjelaskan terdapat banyak jenis dan spektrum sakit kepala dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu primer (Primary) dan sekunder (Secondary).

"Migrain dikategorikan sakit kepala primer atau merujuk kepada jenis sakit kepala tanpa punca yang jelas.

"Sakit kepala primer adalah sakit kepala yang tidak bahaya atau merisikokan nyawa berbanding sakit kepala sekunder.

"Sakit kepala sekunder ialah sakit kepala disebabkan masalah kesihatan seperti pendarahan otak, ketumbuhan otak, darah beku dan jangkitan kuman pada otak.

"Sakit kepala kategori itu jauh lebih berbahaya dan perlukan saringan lebih teliti dalam memastikan ia tidak mengancam kesihatan pesakit," katanya.

Sehingga kini, kata Dr Arulkanesh, migrain tiada punca yang jelas dan saringan atau ujian dijalankan bagi mengesahkan sakit kepala berpunca daripada serangan migrain adalah sukar.

"Kalau pesakit migrain menjalankan pemeriksaan atau saringan untuk sakit kepala, ia lebih kepada mengesan sifat sakit kepala yang dialami pesakit dan sejarah penyakit yang sama turut dialami ahli keluarga yang lain seperti ibu bapa dan saudara kandung.

KOPI tidak mencetuskan serangan migrain. - FOTO Pexels
KOPI tidak mencetuskan serangan migrain. - FOTO Pexels

RADIOFREQUENCY Pulse Therapy kaedah terkini merawat migrain.
RADIOFREQUENCY Pulse Therapy kaedah terkini merawat migrain.

"Ketika ini migrain dikenal pasti menerusi gejala serangan yang selalu menyebabkan sakit pada sebelah kepala sahaja (kiri atau kanan). Ia boleh berterusan dari empat hingga lima jam dan berlarutan dua hingga tiga hari lamanya.

"Sakitnya pula, bersifat mencucuk-cucuk dan berdenyut serta diikuti dengan simptom muntah, loya, pening dan silau mata," katanya.

Ironinya penderita penyakit itu dikongsikan Dr Arulkanesh ialah apabila wanita lebih ramai dengan kadar 60 peratus berbanding lelaki sekitar 40 peratus.

Sementara golongan muda dalam lingkungan usia 15 hingga 35 tahun pula lebih kerap mendapat serangan migrain berbanding pada peringkat usia lain.

"Penyakit migrain boleh menjadi lebih teruk dan akan menjejaskan kesihatan psikologi jika tidak dirawat dengan segera.

"Komplikasi lebih teruk jika tidak dirawat boleh menyebabkan sawan dan serangan strok. Rawatan yang tepat dan segera mengawal serangan akut migrain dan sekali gus memberi keberkesanan untuk jangka masa yang lama," katanya.

Pakar itu menjelaskan rawatan diberikan juga mengikut frekuensi serangan sama ada frekuensi rendah, frekuensi tinggi dan tahap migrain yang kronik.

"Rawatan diberikan kepada pesakit mengikut tahap serangan migrain dialami iaitu frekuensi rendah merujuk serangan kurang 10 hari dalam tempoh sebulan, frekuensi tinggi pula serangan sakit kepala lebih 14 hari dalam masa sebulan dan kronik iaitu serangan sakit kepala berterusan setiap bulan untuk lebih daripada tiga bulan.

"Malah rawatan menangani penyakit itu pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu rawatan akut dan rawatan pencegahan. Rawatan akut perlu diberikan ketika pesakit mengalami serangan sakit kepala, manakala rawatan pencegahan perlu diambil berterusan untuk jangka masa lama untuk mengelakkan berlakunya serangan akut," katanya.

Contoh ubat untuk rawatan akut adalah seperti Sumatriptan, Celebex dan Paracetamol manakala rawatan pencegahan pula seperti Propanolol, Amitripyline dan Pizotifen.

Rawatan migrain juga merangkumi rawatan bukan ubat-ubatan. Antaranya memastikan pesakit sentiasa mendapat waktu rehat dan tidur yang mencukupi serta elakkan penggunaan komputer atau televisyen untuk jangka masa lama.

Selain itu, gaya hidup yang aktif dan bebas daripada merokok juga dapat mengelakkan serangan migrain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:00 AM