KESAN rawatan menjadi lebih baik jika mendapat rawatan awal.
KESAN rawatan menjadi lebih baik jika mendapat rawatan awal.
PEWARNA dan aditif dalam makanan juga boleh mempromosikan kanser otak.
PEWARNA dan aditif dalam makanan juga boleh mempromosikan kanser otak.
LELAKI mempunyai kebarangkalian lebih  didiagnos ketumbuhan otak berbanding wanita.
LELAKI mempunyai kebarangkalian lebih didiagnos ketumbuhan otak berbanding wanita.
Hajahfarhana Tarmudi


Ketumbuhan otak terjadi apabila terdapat pertumbuhan tisu otak yang luar biasa dan tidak terkawal. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder.

Ketumbuhan otak primer adalah kanser yang berasal daripada tisu otak manakala jenis sekunder pula merebak ke otak yang berasal daripada bahagian tubuh lain seperti paru-paru, payudara, kelenjar prostat dan ginjal.

Ketumbuhan otak primer pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu benigna dan malignan. Kanser jenis benigna adalah ketumbuhan yang membabitkan proses pertumbuhan perlahan dan tidak merebak ke anggota badan lain serta tidak menyerang tisu di sekitarnya. Kebarangkalian untuk ketumbuhan berkenaan berulang selepas pembedahan pembuangannya juga amat rendah.

Sebaliknya ketumbuhan otak primer malignan pula membabitkan proses pertumbuhan yang pantas dan boleh menyerang tisu berhampiran.

Ketumbuhan ini jarang sekali merebak ke tisu luar daripada otak dan berpeluang untuk berulang kembali selepas pembedahan pembuangan sepenuhnya dilakukan.

Kedua-dua jenis ketumbuhan di atas boleh membesar dan menyebabkan tekanan ke atas struktur lain seperti mata yang boleh mengakibatkan kebutaan.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kekerapan terjadinya ketumbuhan otak primer amat rendah. Lebih rendah lagi ketumbuhan otak malignan dalam lingkungan dua peratus daripada keseluruhan kanser dalam kalangan orang dewasa.

Di United Kingdom, keseluruhan insiden tahunan untuk semua ketumbuhan otak adalah pada kadar tujuh bagi 100,000 penduduk. Di Amerika Syarikat, insiden bagi semua ketumbuhan otak adalah 46 bagi 100,000 penduduk setiap tahun dan hanya 15 bagi 100,000 daripada mereka adalah ketumbuhan otak primer.

Golongan lelaki mempunyai kebarangkalian yang lebih untuk didiagnos dengan ketumbuhan otak berbanding wanita (nisbah 1.5:1)

SAKIT KEPALA, TUMOR OTAK

Menurut Pakar Bedah Saraf Hospital Beacon Dr Chee Chee Pin, sakit kepala adalah gejala atau simptom dan bukan penyebab kepada kanser otak, namun jangan ambil mudah kehadirannya.

“Ada beberapa sebab sakit kepala boleh terjadi. Sebab biasa sakit kepala adalah migrain, ketegangan, vaskular atau sakit kepala berkelompok, kesan serius tumor otak, darah beku, pendarahan subaraknoid daripada aneurisme serta jangkitan seperti meningitis dan otak bernanah.

“Akibat mengambil ringan sakit kepala, ia mungkin menyebabkan kesan yang lebih serius seperti rasa mengantuk, lumpuh, sawan, koma dan mengancam nyawa,” katanya.

Selain itu, terdapat simptom tambahan lain yang boleh menjadi sebab kepada sakit kepala yang serius dan memberi isyarat kepada penyakit tertentu. Antaranya:

- Muntah, kabur penglihatan bersama-sama dengan menunjukkan peningkatan tekanan intrakranium (tekanan di kepala).

- Kelemahan, kebas kaki dan badan.

- Saraf tengkorak kehilangan fungsi kehilangan deria pendengaran dan bau, penglihatan berganda, kelemahan di muka, kebas muka, kesukaran menelan.

- Epilepsi atau sawan.

- Gangguan percakapan.

GEJALA KANSER OTAK

“Gejala yang paling kerap dialami adalah sakit kepala dan sawan. Sakit kepala yang dialami bertambah teruk, namun ada sesetengah waktu hanya membabitkan kesakitan pada bahagian kepala tertentu.

“Selain itu, ada beberapa gejala lain yang dikaitkan dengan kanser otak seperti migrain yang biasanya sakit pada satu bahagian kepala dan ada kalanya di kedua-dua belah kepala, berlanjutan dalam tempoh sehari hingga dua hari. Ada kalanya, gejala sakit mata atau fotofobia dan muntah mungkin boleh terjadi kepada pesakit,” katanya.

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat ketumbuhan otak. Antaranya:

1. ‘Multifactional’ - kecenderungan genetik atau mutasi.

2. Alam sekitar - pencemaran alam sekitar, radiasi, virus, makanan dan bahan kimia.

3. Tabiat seperti merokok. Ia boleh wujud dalam otak atau melalui penyebaran sel kanser daripada luar kepala seperti payu dara, paru-paru, hati, usus, prostat dan ovari.

CEGAH DAN RAWAT

“Kanser otak boleh dirawat dan sesetengah daripada pesakit boleh sembuh melalui pembedahan pembuangan pembedahan tumor, rawatan adjuvan radiosurgeri dan kemoterapi.

“Kesan rawatan akan menjadi lebih baik jika mendapat rawatan awal. Bagi memastikan kesihatan sentiasa terjamin dan mencegah sel kanser menjadi aktif, amalkan pengambilan diet seimbang serta gaya hidup sihat.

“Elakkan daripada pendedahan yang berlebihan kepada bahan kimia. Bukan itu saja, pewarna dan aditif dalam makanan juga boleh mempromosikan kanser otak manakala kandungan antioksidan dalam makanan tertentu mengurangkan risiko strok,” katanya.

Pada masa sama, jangan lupa bersenam, kurangkan atau urus tekanan dengan bijak selain tidak merokok.

Pengesanan awal kanser dan pelan rawatan yang efektif dengan rawatan susulan membantu merawat barah dengan lebih berkesan.

Antara rawatan yang boleh dilakukan kepada pesakit kanser otak (bergantung kepada keadaan pesakit) adalah:

1. Pembedahan, penyahmampatan atau biopsi bergantung kepada tumor.

- Pembedahan sama ada membabitkan pembuangan ketumbuhan secara keseluruhan atau pembuangan sebahagian besar ketumbuhan (berlaku apabila pembuangan secara total tidak dapat dilakukan).

2. Radiosurgeri

3. Radioterapi

4. Kemoterapi

5. Imunoterapi

“Bagi pesakit tumor otak, raikanlah musim perayaan dengan suasana menyeronokkan. Namun, elakkan mengambil makanan berminyak, bergoreng atau yang mengandungi pewarna, aditif dan bahan kimia. Banyakkan minum air, makan buah dan sayuran segar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 2:53 PM