DERMA organ dapat menyelamatkan nyawa ramai orang.
DERMA organ dapat menyelamatkan nyawa ramai orang.
Dr Hasdy Haron

Pengurus Kanan Klinikal Pendermaan Organ

Pusat Sumber Transplan Nasional

Hospital Kuala Lumpur

MENDERMA organ, sama ada berikrar organ digunakan selepas penderma meninggal dunia atau mendermakannya semasa penderma masih hidup, adalah satu tindakan murni.

Ini kerana penderma dapat menyelamatkan nyawa penerima organ yang berdepan risiko kematian, disebabkan organ terjejas sudah berada dalam peringkat akhir kegagalan fungsi.

Namun, yang menyedihkan adalah majoriti pesakit dalam senarai pemindahan organ meninggal dunia semasa sedang menunggu dan berharap untuk mendapat organ baharu.

Punca utamanya kerana jumlah penderma sebenar tidak mencukupi. Senarionya, permintaan melebihi bekalan organ.

Sejak 1997 hingga April 2022, 2,641 pemindahan organ pejal sudah dijalankan di Malaysia.

Organ pejal adalah organ yang mempunyai konsistensi tisu pejal dan tidak kosong (contoh perut dan usus) atau cecair (darah).

Sebahagian besar daripadanya adalah pemindahan buah pinggang yang 2,403 prosedur dijalankan dalam tempoh 25 tahun ini.

Pemindahan organ lain membabitkan hati iaitu 198 prosedur dan sistem kardiotorasik (jantung serta paru-paru) membabitkan 40 prosedur.

Kebanyakan organ ini didermakan oleh penderma hidup iaitu 1,752 untuk buah pinggang dan 92 untuk hati.

Selebihnya adalah organ yang didermakan oleh penderma meninggal dunia iaitu 767.

Pandemik Covid-19 turut memberi kesan besar kepada pemindahan organ di Malaysia.

Ini termasuk pemindahan daripada penderma masih hidup yang terhenti sementara kerana bimbang berlakunya jangkitan virus SARS-CoV-2, jumlah penderma organ meninggal dunia juga turun mendadak.

Contoh, hanya terdapat tujuh penderma organ yang meninggal dunia sepanjang 2021.

Ini kemungkinan besar disebabkan oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kebanyakan penderma organ meninggal dunia, kebiasaannya adalah mangsa kemalangan jalan raya.

Namun begitu, jumlah pemindahan organ tahun ini melebihi jumlah tahun lalu dan ia adalah berita baik untuk pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ.

Daripada Januari hingga April 2022, 69 pemindahan organ dilakukan yang mana 59 daripadanya membabitkan buah pinggang dan 10 adalah pemindahan hati.

Kebanyakan penderma masih hidup iaitu 41 individu mendermakan buah pinggang manakala seorang mendermakan sebahagian hati.

Baki 12 penderma pula membabitkan individu sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, setakat April ini, terdapat lebih 10,455 pesakit dalam senarai menunggu pemindahan organ di Malaysia.

Ini membuktikan betapa penting lebih ramai rakyat Malaysia berikrar mendermakan organ.

Seperti dinyatakan di atas, terdapat dua jenis penderma organ iaitu yang masih hidup dan sudah meninggal dunia.

Di Malaysia, orang dewasa yang sihat boleh mendermakan salah satu buah pinggang atau satu lobus hati mereka kepada suami atau isteri, atau saudara peringkat satu atau dua.

Saudara peringkat satu adalah ibu bapa, anak atau adik-beradik sebenar.

Saudara peringkat dua adalah datuk atau nenek, cucu, ibu atau bapa saudara, anak saudara, sepupu dan adik-beradik tiri.

Dalam sesetengah kes, penderma boleh mendermakan organ kepada saudara yang lebih jauh atau seseorang bukan ahli keluarga.

Namun, ini tertakluk kepada penilaian dan kelulusan oleh jawatankuasa bebas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak sihat daripada segi mental dan/atau fizikal serta banduan, tidak dibenarkan menderma semasa masih hidup.

Pengecualian hanya diberikan sekiranya seorang banduan ingin mendermakan organ kepada saudara dekat yang menghadapi situasi mengancam nyawa akibat kegagalan fungsi organ.

Penderma yang sudah meninggal dunia adalah mereka yang meninggal dunia dan kebenaran untuk menderma diperoleh daripada waris terdekat untuk mendermakan organ selepas meninggal dunia.

Penderma ini (penderma sudah meninggal dunia) biasanya mengalami mati otak.

Namun, bahagian tubuh lain masih berfungsi atau bertahan melalui kaedah buatan untuk membolehkan organ mereka diambil bagi tujuan transplantasi.

Penderma ini boleh menderma kepada beberapa orang penerima kerana mereka berpotensi dapat mendermakan banyak organ.

Contoh jantung, paru-paru, hati, pankreas, usus, buah pinggang dan lain-lain.

Kebanyakan penderma yang sudah meninggal dunia di Malaysia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Oleh itu, kebolehan menderma organ untuk mereka juga bergantung kepada keadaan tubuh penderma yang diisytiharkan mati otak.

Hanya organ yang masih utuh dan berfungsi dengan baik akan dipindahkan kepada seorang penerima.

Kira-kira 50 hingga 60 peratus penderma yang berikrar berada dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun.

Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kesedaran dan penerimaan terhadap pendermaan organ dalam kalangan peringkat umur itu.

Salah satu mitos yang paling banyak diperkatakan adalah prosedur itu akan merosakkan jasad penderma yang meninggal dunia.

Selain itu, ada juga mitos yang mengatakan pengambilan organ daripada penderma yang mati otak akan melambatkan proses pengebumian.

Namun begitu, pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan mengeluarkan organ penderma mati otak sentiasa dilakukan dengan berhati-hati, supaya jasad penderma tidak rosak.

Prosedur ini juga dijalankan dengan pantas supaya keluarga penderma boleh menuntut dan menyiapkan jasad penderma untuk dikebumikan dalam tempoh masa sewajarnya.

Sebagai sebuah negara pelbagai budaya dan agama, kita perlu memahami bahawa pendermaan dan pemindahan organ diterima serta dibolehkan dalam semua agama yang diamalkan di negara ini.

Menurut Islam, hukum pendermaan dan pemindahan organ adalah harus (dibolehkan), ia berdasarkan Fatwa Kebangsaan 1970.

Impak yang dibawa oleh penderma organ dalam kehidupan seseorang pesakit sangat besar kerana ia membantu menyelamatkan nyawa pesakit dan memberi kualiti hidup lebih baik.

Ia juga memberi impak yang positif terhadap keluarga dan rakan-rakan penerima organ kerana mereka dapat meluangkan masa dengan insan tersayang untuk jangka masa yang lebih lama.

Begitu juga dengan keluarga penderma organ yang sudah meninggal dunia, mereka akan berasa lebih tenang apabila mengetahui orang yang mereka sayangi dapat menyelamatkan nyawa seseorang.

Secara tidak langsung, ini menjadi amal kebajikan terakhirnya di dunia.

Penderma organ dilarang menerima ganjaran atau pampasan untuk pendermaan organ, sama ada dalam bentuk wang tunai atau penggalak lain seperti rumah, kereta, saham atau kenaikan pangkat dan sebagainya.

Mereka tetap akan diberikan manfaat tertentu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini termasuk rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta rawatan susulan percuma berkaitan pendermaan organ berkenaan.

Prosedur pendermaan juga sudah tentunya percuma untuk penderma organ.

Kakitangan awam juga dibenarkan mengambil cuti tidak direkod sehingga 42 hari semasa tempoh pemulihan.

Sebagai sebuah masyarakat, adalah penting untuk menormalkan pendermaan organ.

Keputusan menjadi penderma organ mungkin menjadi salah satu tindakan yang paling bermakna dalam hidup penderma organ.

Tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk mendaftarkan diri menjadi penderma organ selepas meninggal dunia.

Oleh itu, berikrarlah untuk mendermakan organ.

Terlebih dahulu, beritahu ahli keluarga mengenai hasrat mahu menderma organ selepas meninggal dunia.

Ini kerana, prosedur (menderma organ selepas meninggal dunia) memerlukan kebenaran keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 6:40 AM