ROHANI menjalani kehidupan lebih gembira bersama suami dan keluarga selepas menerima buah pinggang.
ROHANI menjalani kehidupan lebih gembira bersama suami dan keluarga selepas menerima buah pinggang.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


PENDERMAAN organ bukanlah perkara baharu di Malaysia bahkan di dunia, saban hari jumlah bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat namun bilangan pengikrar yang ingin menderma ketika hidup dan selepas kematian masih berada pada tahap rendah.

Mungkin kurang kesedaran dan pendedahan, walaupun umum mengakui ia adalah amalan terbaik namun masih ramai yang bersikap acuh tidak acuh mengenai perkara ini.

Ada yang beranggapan tidak bersedia, ada juga yang tidak sanggup malah masih ramai tidak tahu prosedur sebenar yang perlu dilakukan untuk bergelar pengikrar penderma organ.

Ternyata berikrar menjadi penderma adalah niat suci yang bukan saja memberi pahala kepada diri malah membawa sinar kehidupan baharu kepada penerima organ.

Berkongsi pengalaman bergelar pengikrar bersama seisi keluarganya Ruslan Awang, 60, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lang berkata, semuanya bermula sekitar 1990 selepas dia terbaca artikel di akhbar mengenai seorang kanak-kanak yang memerlukan organ hati.

“Hati bagaikan terjentik dan saya segera menghubungi ibu kanak-kanak terbabit menyatakan hasrat mendermakan organ saya. Ia menjadi detik permulaan saya mengetahui mengenai pengikrar organ.

“Saya segera menghubungi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ketika itu dan menyuarakan hasrat sebelum pergi ke hospital untuk mengambil borang serta mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Namun disebabkan tidak memberitahu mengenai hasratnya kepada isteri, tujuan murni itu

terbantut seketika.

“Saya sudah berada di HTAR ketika itu namun apabila memikirkan tidak berbincang dengan isteri menyebabkan saya terdiam seketika dan pulang semula ke rumah tanpa meneruskan niat.

“Selepas menyuarakan hasrat dan mendapat persetujuan isteri, saya ke HTAR semula dan diminta menghubungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk meneruskan hasrat mendaftar sebagai penderma organ.

“Syukur, saya selamat berdaftar sebagai penderma organ, saya turut mendaftarkan isteri dan dua anak sebelum menambah lagi pendaftaran empat lagi anak yang menjadikan kami lapan orang disahkan sebagai pengikrar,” ujarnya.

Tambahnya, ketika itu pendedahan di media mengenai penderma organ belum meluas dan masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

“Seingat saya, isu ini mula dibincangkan secara meluas dan terbuka sejak 2009, bermula daripada itu saya juga aktif mengikuti pelbagai kempen di seluruh Malaysia bagi membantu memberi pendedahan serta pengetahuan kepada masyarakat.

“Takdir Tuhan mengatasi segalanya, dua anak saya meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya dan organ kedua-duanya diambil dan didermakan disebabkan mereka adalah pengikrar,” katanya.

ANTARA panel dalam program Fikir Transplant Kidney Run (FTR) 2019 di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
ANTARA panel dalam program Fikir Transplant Kidney Run (FTR) 2019 di UiTM Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, dia sangat berbangga kerana dua arwah anaknya dapat melakukan amal jariah yang berkekalan selepas pemergian mereka.

“Bergelar pengikrar ini perlu positif dan ikhlas melakukannya dengan niat ingin membantu. Insya-Allah hidup kita akan menjadi lebih tenang di dunia dan akhirat.

“Ini yang saya sentiasa ingatkan kepada sesiapa saja yang saya temui, syukur kini semakin ramai ahli keluarga saya yang turut sama mendaftar sebagai pengikrar penderma organ,” ujarnya.

SINAR BAHARU KEHIDUPAN

Berbeza pula dengan Rohani Aziz, 49, yang juga ibu kepada dua cahaya mata. Dia yang mengalami masalah buah pinggang sejak berusia 14 tahun amat bersyukur kerana menerima buah pinggang baharu pada April 2015.

Penerimaan itu menjadi permulaan menggembirakan buat dirinya dan seisi keluarga kerana mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas itu.

“Penantian selama 17 tahun ini benar-benar bermakna, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menerima organ baharu ini memandangkan senarai individu yang memerlukan sangat ramai.

“Siapa sangka, saya menerima panggilan dari hospital mengenai tersenarai dalam 10 senarai teratas penerima organ dan syukur, akhirnya saya terpilih untuk menerimanya,” katanya.

Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa dia bersyukur dan gembira apabila berpeluang menerima organ baharu itu.

“Kini saya masih perlu mengambil ubat diberikan doktor, menjalani pemeriksaan rutin dan menjaga pemakanan harian.

“Syukur, suami dan anak-anak banyak membantu dan beri semangat, kehidupan saya banyak berubah selepas menerima organ ini dan saya amat gembira,” ujarnya.

Tambahnya, tanpa pemindahan organ itu, dia tidak dapat hidup seperti kini dan tentu saja perlu menjalani dialisis serta beberapa prosedur lain yang menyakitkan.

Sementara itu, Pakar Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Rosnawati Yahya berkata, pendermaan organ bagi penderma masih hidup boleh mendermakan sebahagian hati dan satu buah pinggang manakala penderma yang sudah meninggal dunia boleh menderma apa saja organ.

“Kesedaran orang awam mengenai kepentingan pendermaan organ sangat rendah terutama mengenai hukum dan rasa takut.

“Jadi, kami berusaha untuk meningkatkan kesedaran seterusnya berdaftar sebagai penderma dan maklumkan kepada keluarga. Jangan bimbang mengenai risiko kerana kami tidak akan menjalankan sebarang pemindahan organ sekiranya mempunyai risiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:10 AM