HATI dikeluarkan untuk diberikan kepada penerima.
HATI dikeluarkan untuk diberikan kepada penerima.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MALAYSIA memerlukan lebih banyak pendermaan organ daripada penderma yang meninggal dunia.

Ini kerana seorang penderma yang meninggal dunia boleh mendermakan pelbagai organ dan tisu untuk memberi manfaat kepada ramai pesakit.

Selain itu juga, tiada sebarang risiko membimbangkan kepada penderma yang meninggal dunia berbanding pendermaan organ individu yang masih hidup.

Namun, kadar pendermaan organ selepas meninggal dunia di Malaysia masih rendah.

Pakar Klinikal Jabatan Anestesiologi Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) Dr Yap Mei Hoon berkata, cabaran terbesar kepada perkara itu ialah sikap dan persepsi masyarakat mengenai pendermaan organ selepas meninggal dunia.

Dr Mei Hoon berkata, sebagai contoh, individu itu sudah berikrar sebagai penderma organ, tetapi keluarga tidak membenarkan proses ini dilakukan (pendermaan organ selepas meninggal dunia) apabila pihak hospital memohon kebenaran waris.

"Malah, keluarga beranggapan proses ini satu penyeksaan kepada jenazah. Pada masa sama, mereka mahu mengebumikan jenazah dalam keadaan sempurna yang lengkap semua organ.

"Tambahan pula, adalah sukar untuk membuat keputusan mengizinkan pendermaan organ selepas baharu kehilangan insan tersayang," katanya.

Kata beliau, Malaysia memerlukan sistem yang tersusun dan sistematik dalam mengesan penderma berpotensi.

"Di PPUM, sistem digunakan untuk mengesan pesakit yang sesuai dijadikan penderma ialah melalui pengesanan aktif dan pengesanan pasif.

"Pengesanan aktif adalah cara yang lebih efektif, tetapi membabitkan lebih ramai tenaga kerja. Satu pasukan khas diperlukan untuk meronda hospital dan mengenal pasti pesakit yang berpotensi menjadi penderma organ.

"Pengesanan pasif pula mengharapkan rujukan daripada kakitangan hospital," katanya.

Menurut Dr Mei Hoon, proses pemindahan organ bermula dengan pengesanan terhadap pesakit berpotensi untuk menjadi penderma organ selepas meninggal dunia.

"Kami mempunyai program kesedaran seperti syarahan untuk kakitangan perubatan supaya mereka dapat memaklumkan kepada pasukan perubatan jika mengenal pasti pesakit berpotensi," katanya.

Dr Mei Hoon berkata, statistik pendermaan organ dan tisu selepas meninggal dunia di PPUM bagi tempoh lima tahun sehingga 2021 ialah seramai 11 orang.

Ia membabitkan dua penderma pada 2017, 2018 (seorang), 2019 (dua orang), 2020 (lima orang) dan 2021 (seorang).

"Walaupun bilangan ini kecil, ia ada peningkatan dan perlu ditingkatkan lagi. Ini satu perkembangan yang memberangsangkan.

"Pada Oktober 2021, kita berjaya melaksanakan satu pendermaan pelbagai organ daripada seorang penderma merangkumi hati, buah pinggang dan tisu kornea," katanya.

Pakar Perunding Nefrologi Jabatan Perubatan PPUM Prof Madya Dr Maisarah Jalalonmuhali berkata, bilangan pesakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis semakin tinggi setiap tahun.

Katanya, pemindahan organ adalah penyelesaian terbaik kepada pesakit ini kerana selepas itu mereka tidak perlu lagi melalui rutin memenatkan iaitu rawatan dialisis.

"Pendermaan buah pinggang terdiri daripada kalangan penderma hidup ataupun penderma yang meninggal dunia.

"Di Malaysia, pada masa ini, kebanyakan pendermaan adalah kalangan penderma hidup kerana kekurangan pendermaan daripada penderma sudah meninggal dunia," katanya.

Jelasnya, pendermaan daripada pesakit sudah meninggal dunia membolehkan seorang pesakit menderma kepada dua penerima buah pinggang.

"Selain itu, ia juga dapat mengelakkan komplikasi jangka masa panjang daripada penderma hidup.

"Bagaimanapun, komplikasi ini adalah sangat rendah selepas pemeriksaan yang menyeluruh sebelum membolehkan individu itu menderma organ," katanya.

Dr Maisarah berkata, pemindahan buah pinggang dapat menyelamatkan nyawa pesakit kerana sekiranya mereka kekal dengan rawatan dialisis, kadar kematian adalah lebih tinggi.

PESAKIT buah pinggang tahap akhir semakin tinggi.
PESAKIT buah pinggang tahap akhir semakin tinggi.

"Proses pemindahan buah pinggang agak kompleks kerana perlu memadankan organ itu sebelum dipindahkan kepada pesakit. Ini bagi mengelakkan berlaku komplikasi penolakan organ berkenaan.

"Rawatan dialisis memenatkan kerana pesakit perlu menjalaninya tiga kali seminggu dengan setiap satu sesi selama empat jam," katanya.

Jelasnya, tidak dinafikan kos rawatan pemindahan organ agak tinggi kerana ubat yang digunakan adalah mahal.

"Namun, banyak kajian menunjukkan kos dialisis adalah jauh lebih tinggi berbanding pemindahan organ.

"Selepas pemindahan organ, pesakit boleh menjalani kehidupan normal termasuk kembali bekerja.

"Daripada segi kesihatan, selepas pemindahan organ pula ialah komplikasi lain iaitu kegagalan organ ini dapat diatasi," katanya.

Dr Maisarah berkata, buah pinggang adalah organ yang membantu untuk pembentukan darah merah.

"Selepas pemindahan organ, pesakit tidak perlu lagi suntikan ubat untuk menambah darah kerana masalah ini dapat diatasi.

"Rawatan dialisis hanya menolong untuk mengeluarkan air dan toksin, tetapi tidak dapat merawat abnormal darah merah, tidak membantu pembentukan darah merah serta fosfat yang tidak seimbang," katanya.

Pakar Perunding, Jabatan Surgeri PPUM, Prof Madya Dr Yoong Boon Koon berkata, jenis pembedahan organ yang menjadi keutamaan di PPUM ialah buah pinggang, hati dan tisu (tulang serta kornea).

Beliau berkata, semua pembedahan dilakukan di PPUM kerana pusat perubatan ini memiliki semua kepakaran.

"Kami pernah melakukan pembedahan dan pemindahan buah pinggang, hati serta tisu serentak pada hari yang sama.

"Sehingga kini, kami sudah melakukan 20 pembedahan hati membabitkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Dr Boon Koon berkata, tahun lalu, 15 pesakit menjalani pembedahan organ hati.

"Pendermaan selepas meninggal dunia boleh mendermakan keseluruhan hatinya kepada penerima.

"Pendermaan hidup hanya boleh mendermakan 70 peratus hatinya," katanya.

Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik PPUM Prof Madya Dr Ng Ruey Terng berkata, pesakit hati kanak-kanak peringkat akhir akan mengalami masalah tumbesaran terbantut.

Katanya, selepas pemindahan hati, tumbesaran kanak-kanak itu kembali normal seperti kanak-kanak lain.

"Bahkan, perkembangan kesihatan yang positif ini boleh membuatkan ramai tidak menyangka kanak-kanak terbabit pernah menjalani pembedahan pemindahan hati.

"Bagaimanapun, kanak-kanak berpenyakit hati kronik tidak digalakkan dalam penerimaan organ daripada penderma yang meninggal dunia.

"Ini kerana organ itu terlalu besar untuk kanak-kanak dan perlu dibahagikan dua bahagian sebelum dipindahkan kepada pesakit kanak-kanak berkenaan.

"Proses ini dianggap sebagai satu pembaziran pada organ yang didermakan," katanya.

Dr Ruey Terng berkata, pesakit yang menjalani pemindahan organ iaitu hati dan buah pinggang perlu bergantung kepada ubat khas sepanjang hayat untuk mengelakkan penolakan organ berkenaan.

"Di samping itu, mereka perlu datang ke hospital untuk rawatan susulan dan pemeriksaan bagi memastikan organ yang dipindahkan dalam keadaan sihat.

"Sekiranya organ diterimanya sudah tidak berfungsi, pemindahan organ kali kedua akan dilakukan, tetapi ia lebih rumit berbanding pemindahan kali pertama.

"Malah ia mempunyai risiko kegagalan

pembedahan dan kadar kematian yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 7:00 AM