PENERIMA buah pinggang masih perlu menjalani gaya hidup sihat.
PENERIMA buah pinggang masih perlu menjalani gaya hidup sihat.
Muhamaad Razis Ismail


PENYAKIT buah pinggang kronik (CKD) di negara ini antara isu kesihatan awam yang serius berikutan peningkatan jumlah kes sejak sekian lama.

Kesedaran yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan diagnosis lewat dan komplikasi yang lebih teruk.

Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Unit Transplantasi, Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr Rosnawati Yahya berkata, CKD lebih lazim berlaku di Malaysia kerana kadar diabetes, hipertensi dan obesiti yang tinggi dalam populasi kita.

"Berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), CKD menjejaskan kira-kira 15.5 peratus populasi negara atau kira-kira satu daripada enam rakyat Malaysia.

"Kaji selidik itu juga mendapati bahawa jumlah pesakit Penyakit Buah Pinggang Tahap Akhir (ESKD) meningkat sejak tujuh tahun lalu," katanya dalam forum sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2022 anjuran Astellas Pharma baru-baru ini.

Forum bertemakan Merapatkan Jurang Pengetahuan untuk Rawatan Buah Pinggang yang Lebih Baik bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan buah pinggang dan mengurangkan impak penyakit buah pinggang di seluruh dunia.

Sementara itu, bagi Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Bahagian Buah Pinggang, Jabatan Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Lim Soo Kun pula, pilihan rawatan yang disarankan berdasarkan keperluan pesakit dan kepentingan yang terbaik buat masa kini dan akan datang.

Katanya, terdapat beberapa rawatan yang efektif untuk CKD dan ESKD.

PEMINDAHAN buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan dan ketahanan hidup.
PEMINDAHAN buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan dan ketahanan hidup.

"Walaupun hemodialisis adalah rawatan yang paling lazim untuk ESKD dalam kalangan rakyat Malaysia, pemindahan buah pinggang adalah rawatan yang optimum untuk pesakit CKD peringkat lanjut, termasuk ESKD kerana ia menawarkan penawar yang efektif untuk penyakit itu.

"Pesakit CKD yang menjalani pemindahan buah pinggang akan menikmati kualiti hidup lebih baik berbanding mereka yang menjalani dialisis.

"Mereka tidak lagi perlu terikat dengan jadual dialisis dan peluang untuk hidup lebih lama dan kurang komplikasi kesihatan adalah jauh lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Pengurus Kanan Pendermaan Organ Klinikal, Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr Hasdy Haron berkata, kadar pendermaan organ di Malaysia adalah rendah berbanding negara lain.

Katanya, setakat 2018, hanya 1.3 peratus populasi sudah berikrar untuk menjadi penderma organ selepas meninggal dunia.

 PENDERMA buah pinggang yang masih hidup amat diperlukan.
PENDERMA buah pinggang yang masih hidup amat diperlukan.

"Pemindahan buah pinggang yang dijalankan di negara ini sejak 1975 ketika pendermaan buah pinggang dari penderma hidup yang pertama dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.

"Namun, kadar pemindahan buah pinggang di Malaysia antara yang terendah, bukan sahaja di seluruh dunia, malah di negara Asean," katanya.

Justeru itu, memandangkan kadar kelaziman CKD yang tinggi di Malaysia, Dr Hasdy menyarankan pihak berkaitan perlu meneruskan usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ.

"Inisiatif ini dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan ini.

"Pendermaan organ adalah satu usaha yang murni dan prosesnya mengikut prosedur ketat bagi memastikan penderma dan pesakit sama-sama sesuai selain dapat menjalani prosedur itu dengan baik," katanya.

Pemindahan buah pinggang adalah salah satu prosedur yang boleh dijalankan terhadap penderma yang masih hidup atau individu yang meninggal dunia akibat kegagalan otak (juga dikenali sebagai penderma mati).

Penderma hidup mesti mempunyai pertalian dengan pesakit dan bersetuju untuk menderma dengan sukarela. Mereka boleh menderma organ tanpa membahayakan kesihatan, asalkan mereka lulus semua pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan sebelum itu.

 MASALAH obesiti antara penyumbang peningkatan penyakit buah pinggang kronik.
MASALAH obesiti antara penyumbang peningkatan penyakit buah pinggang kronik.

Selepas pemindahan buah pinggang, pesakit boleh kembali menjalani kehidupan secara normal walaupun mereka perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengambil ubat-ubatan imunosupresan sepanjang hayat mereka.

Penjagaan selepas pemindahan buah pinggang adalah lebih mudah berbanding pilihan rawatan CKD yang lain kerana pesakit hanya perlu mengambil imunosupresan untuk memastikan tubuh mereka tidak menolak buah pinggang yang diterima.

Pesakit boleh meneruskan kehidupan normal tidak lama selepas pemindahan buah pinggang, namun mereka perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menghadiri pemeriksaan perubatan seperti yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 7:00 AM