Oleh Aniza Zainudin

SEBANYAK 14 kilogram (kg) udara diperlukan manusia setiap hari untuk meneruskan kehidupan, berbanding hanya 1.4 kg makanan dan minuman.

Apabila makanan dan minuman dicemari, kita masih mempunyai pilihan untuk menolak daripada menjamah keperluan itu.

Namun, bagaimana pula dengan udara tercemar? Adakah kita memiliki alternatif udara lain untuk disedut bagi kelangsungan hidup?

Mustahil kerana dalam situasi sebegitu, kita perlukan udara itu meskipun satu Malaysia kini diselubungi partikel jerebu.

Mengulas mengenai insiden ‘bermusim’ ini, pakar perunding dan gastroenterologi, Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh berkata, pencemaran udara ternyata membawa kesan yang teruk terhadap manusia.

Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan pendedahan kepada jerebu memberi impak negatif terhadap kesihatan manusia dalam jangka panjang.

Manusia terdedah kepada masalah kesihatan akut atau sementara seperti mata kering, batuk dan sebagainya.

Kedua masalah kronik, apabila partikel halus jerebu bersaiz 2.0 mikron atau lebih kecil boleh melepasi saluran pernafasan, jantung, paru-paru dan salur darah hingga menyebabkan penyakit lain.

“Masalah jerebu teruk bukanlah asing berlaku di negara ini kerana ramai yang mengetahui ia berlaku saban tahun.

“Namun, ramai tidak menyedari sebenarnya jerebu di negara ini berlaku setiap masa.

“Apa yang membezakannya hanya bacaan dan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU), yang mana apabila berlaku pembakaran terbuka di Indonesia, bacaannya lebih tinggi dan ia menghasilkan pemandangan jerebu yang sangat teruk.

JEREBU membawa partikel kimia yang berbahaya.
JEREBU membawa partikel kimia yang berbahaya.

“Jerebu terbahagi kepada beberapa tahap sama ada baik, sihat dan bahaya. Perkara yang membimbangkan apabila bacaan IPU pada tahap membimbangkan iaitu 200 ke atas.

“Pelbagai saranan dan panduan dikeluarkan bagi membantu masyarakat mengelak mengalami masalah kesihatan ketika musim jerebu, termasuk berada di dalam bangunan berbanding di luar.

“Ini perkara menarik dan mungkin ramai tidak mengetahui sebenarnya berada dalam bangunan juga tidak ‘bebaskan’ manusia daripada kesan jerebu.

“Manusia menghabiskan masa hampir 90 peratus dalam bangunan terutama pejabat, rumah, kereta serta kompleks beli-belah.

“Namun tidak ramai mengetahui udara dalam bangunan tercemar dua hingga lima kali ganda berbanding di luar.

“Ini kerana dalam bangunan atau kereta mempunyai sistem pengudaraan berpusat. Jika dibandingkan dengan udara luar, ia mempunyai beberapa faktor pengurangan termasuk hujan dan tiupan angin yang membersihkan udara tercemar.

“Apabila udara mengandungi jerebu memasuki kawasan dalam bangunan, hanya 20 peratus udara dikeluarkan semula melalui sistem penapisan manakala 80 peratus lagi kekal berada di dalam ruang bangunan,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, partikel jerebu yang halus berada di dalam ruang bangunan mengandungi pelbagai bahan kimia dan bergabung dengan bahan lain meningkatkan risiko kesihatan tanpa disedari.

Justeru, penjagaan diri dan kebersihan ruang dalam bangunan terutama rumah dan pejabat perlu dititikberatkan.

Selain pemakaian topeng muka dan menyarankan penggunaan teknologi penapis udara, Dr Ahmad Shukri juga menasihatkan masyarakat supaya membersihkan rumah terutama penyaman udara, kipas dan debu pada perabot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:00 AM