FENOMENA jerebu yang berpanjangan menjejaskan tahap kesihatan jika terdedah kepada kualiti udara yang teruk. FOTO Aziah Azmee
FENOMENA jerebu yang berpanjangan menjejaskan tahap kesihatan jika terdedah kepada kualiti udara yang teruk. FOTO Aziah Azmee
Amir Abd Hamid

Jerebu di beberapa kawasan baru-baru ini menyebabkan Malaysia terpaksa menghantar surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan.

Masih ramai mungkin belum jelas mengenai implikasi jerebu kepada persekitaran khususnya kepada kesihatan umum.

Ikuti temu bual wartawan AMIR ABD HAMID bersama pakar hidrologi persekitaran PROF DATUK TS DR MOHD EKHWAN TORIMAN yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berkongsi ilmunya mengenai jerebu untuk Kafe Ahad.

DR Mohd Ekhwan. FOTO Arkib NSTP
DR Mohd Ekhwan. FOTO Arkib NSTP

Apa kesan jerebu kepada kesihatan manusia?

Enam daripada 10 negara Asean iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, dan Filipina kerap kali mengalami krisis jerebu bermusim yang menjejaskan kualiti udara dan memberi kesan kepada kehidupan seharian penghuninya.

Masalah jerebu di Asia Tenggara dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia dan sukar dikawal terutama ketika cuaca kering dan panas.

Kesan jerebu yang mengandungi sejumlah besar jirim bawaan udara daripada lepasan asap akan memudaratkan kesihatan dan aktiviti harian manusia.

Secara umumnya, jerebu boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Dalam jangka pendek, mata, hidung dan tekak anda mungkin mengalami kerengsaan akibat jerebu.

Risiko penyakit jantung dan paru-paru juga akan meningkat apabila terdedah kepada jerebu.

Dalam jangka panjang, saluran darah juga akan terjejas yang boleh menjurus kepada penyakit vaskular.

Jerebu juga menyebabkan peningkatan risiko kematian kerana penyakit kardiovaskular dan mampu mengurangkan jangka hayat seseorang.

Di samping itu, jerebu juga akan mengurangkan jarak penglihatan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Fenomena jerebu yang berpanjangan menjejaskan tahap kesihatan jika terdedah kepada kualiti udara yang teruk.

Individu yang mempunyai lelah atau asma akan mudah sensitif kepada jerebu dan melemahkan mereka.

Apa yang perlu masyarakat tahu mengenai kesan jerebu kepada persekitaran?/b>

Selain jerebu memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan manusia, ia juga memberi kesan mendalam terhadap persekitaran.

Kesan jerebu terhadap persekitaran bukan isu yang boleh dipandang remeh.

Penurunan kualiti udara adalah antara impak yang ketara. Jerebu mengandungi partikel-partikel kecil yang boleh merosakkan udara, mencemari sumber oksigen kita.

Ini merugikan flora dan fauna yang bergantung kepada udara bersih untuk hidup dan berkembang.

Jadi, kesan jerebu terhadap persekitaran jelas membawa impak negatif kepada biodiversiti.

Selanjutnya, jerebu juga mencemarkan sumber air.

Partikel jerebu boleh mencemar sungai dan tasik, menyebabkan gangguan kepada ekosistem air.

Kesan ini merosakkan habitat hidupan liar dan mengancam spesies yang bergantung kepada sumber air terbabit.

Di samping itu, jerebu juga merosakkan tanah. Zarah halus dalam jerebu dapat menetap pada permukaan tanah, mengganggu proses semula jadi seperti penyerapan air dan mineral.

Akibatnya, ini boleh mempengaruhi produktiviti tanaman dan kepelbagaian spesies tanah.

Apa persediaan boleh dibuat orang ramai menghadapi musim jerebu?

Beberapa langkah yang perlu diamalkan untuk menghindarkan segala kemungkinan ketika fenomena jerebu berlaku.

Untuk komuniti setempat, amalkan minum banyak air dan tambahkan pengambilan vitamin C, buah-buahan serta sayuran segar.

Kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah jerebu.

Kurangkan melakukan aktiviti di luar rumah. Kurangkan atau elakkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok atau pembakaran terbuka kerana cuaca yang panas kering berisiko untuk api merebak.

Pakai topeng pelindung yang boleh menghalang debu jerebu memasuki saluran pernafasan.

Warga pelajar antara golongan utama diambil berat jika membabitkan kesihatan awam. Apa peranan pihak sekolah dalam hal ini?

Bagi pihak sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pasti bertindak bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang membabitkan semua murid.

Disarankan aktiviti keramaian/sukan di luar bangunan ditangguhkan.

Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta.

Apa pula peranan kerajaan mengatasi masalah jerebu?

Dalam usaha mengatasi masalah jerebu yang kini berlaku hampir saban tahun, langkah awal kerajaan dalam mengawal dan mengelakkan pembakaran biojisim terutama pembakaran tanah gambut adalah sangat diperlukan.

Langkah pengawalan pembakaran tanah gambut dan larangan pembakaran terbuka adalah perlu dijalankan terutama ketika musim panas bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga di Malaysia.

Penguatkuasaan pihak bertanggungjawab adalah menjadi perkara pokok yang perlu diperkuatkan kerana dasar dan akta berkaitan pembakaran tanah gambut sudah diwujudkan di Malaysia dan Indonesia, tetapi penguatkuasaan yang lemah menyebabkan masalah jerebu semakin parah.

Apa manfaat teknologi dalam membantu mengurangkan impak negatif jerebu?

Penggunaan teknologi terkini juga dapat diadaptasi dan dijalankan dengan berkesan dalam mengurangkan impak jerebu seperti pembenihan awan dan proses menjalankan pemadaman api dengan pantas untuk mengelakkan pembakaran kawasan hutan dan tanah gambut yang lebih luas.

Antara teknik yang boleh dijalankan dalam meramal serta memberikan amaran awal bagi episod jerebu yang bakal berlaku adalah dengan menganalisa data darjah penglihatan (visibility) dan kandungan lembapan di dalam organik dan permukaan bahan bakar yang lebih dikenali sebagai Drought Code.

Bahan pencemar daripada faktor lokal seperti pelepasan daripada kenderaan bermotor seharusnya dikurangkan semasa fenomena jerebu.

Pendidikan alam sekitar seharusnya dijalankan dengan lebih komprehensif di rantau ini dengan memberi maklumat mengenai elemen yang bersifat tidak mesra alam sekitar dan impak kemusnahan alam sekitar dan kesihatan manusia.

Penguatkuasaan undang-undang di peringkat lokal dan antarabangsa seharusnya dilaksanakan dengan lebih berkesan bagi mengawasi masalah pembakaran oleh petani kecil tempatan dan syarikat besar yang menguasai sektor industri pertanian seperti perladangan kelapa sawit di kawasan tanah gambut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:31 AM