UMAT Islam di Palestin percaya bahawa kesabaran dan ketekunan dalam menghadapi musuh Allah adalah cara untuk mendapatkan kemenangan. FOTO AFP
UMAT Islam di Palestin percaya bahawa kesabaran dan ketekunan dalam menghadapi musuh Allah adalah cara untuk mendapatkan kemenangan. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

PERJUANGAN memerlukan pengorbanan tinggi untuk menjamin kejayaan. Di samping keyakinan bahawa kemenangan adalah milik setiap perjuangan yang dilakukan kerana Allah SWT. Apatah lagi apabila perjuangan itu kerana mempertahankan agama Allah dan maruah serta hak orang Islam sebagaimana di bumi Palestin. Mereka bukan sahaja berjuang kerana mempertahankan tanah air tetapi lebih penting daripada itu mempertahankan tanah suci umat Islam dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel.

Setiap orang Islam sangat yakin bahawa kemenangan adalah bersama mereka. Konsep keyakinan terhadap kemenangan dalam perjuangan menentang musuh Allah adalah aspek penting dalam ajaran Islam. Dalam Islam, keyakinan tersebut melibatkan kepercayaan teguh kepada janji Allah bahawa akhirnya, kebenaran akan menang dalam perjuangan menentang musuh Allah. Konsep keyakinan ini didasarkan pada ajaran agama Islam dan diilhamkan oleh al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Umat Islam yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan menang pada akhirnya, dan ini memberi mereka semangat dan tekad untuk terus berjuang dalam menentang musuh Allah.

Seluruh umat Islam mengambil tanggungjawab menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Begitu juga kewajipan untuk mempertahankan agama Allah. Oleh itu mereka yakin ia sebahagian daripada tanggungjawab Muslim kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT juga menjadi asas kepada keteguhan iman dan kesanggupan untuk berkorban jiwa dan raga demi agama Allah. Setiap Muslim yakin Allah adalah Pelindung sejati mereka dalam perjuangan menentang musuh. Keyakinan ini membawa mereka untuk berserah kepada Allah dan bergantung pada-Nya sepenuhnya. Mereka juga yakin bahawa kemenangan sejati adalah di akhirat, dan ini memotivasikan mereka untuk sabar dan bertahan dalam menghadapi musuh Allah di dunia ini. Mereka yakin dengan janji Allah dalam al-Quran bahawa orang-orang yang zalim dan menentang kebenaran akan gagal pada akhirnya.

Umat Islam juga yakin dengan konsep keberkatan dalam hidup. Keyakinan ini merangkumi pemahaman bahawa Allah memberi keberkatan kepada perjuangan yang benar dan adil. Keberkatan ini berupa kemenangan atau hasil positif yang lain dan umat Islam meyakini bahawa Allah sentiasa mempunyai tujuan yang baik dalam perjuangan mereka.

Umat Islam percaya bahawa kesabaran dan ketekunan dalam menghadapi musuh Allah adalah cara untuk mendapatkan kemenangan.

Manakala, Allah SWT sangat menganjurkan agar berpegang teguh dengan agama Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah Ali Imran, ayat 103)

Apa yang berlaku hari ini sangat mengecewakan apabila umat Islam sendiri seolah-olah tiada kekuatan untuk melawan kezaliman musuh Islam. Bahkan, ada di antara negara Islam yang bertelagah dan tiada kata sepakat. Manakala, di kalangan negara yang bersatu mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan Islam juga masih buntu bagaimana menghentikan kezaliman rejim Zionis Israel di bumi Palestin. Bukannya kerana tidak mampu dari segi material, tetapi keyakinan sebagaimana dinyatakan tadi masih tipis untuk melawan kepentingan lain yang lebih tebal.

Oleh itu, kita menyaksikan dunia Barat kebanyakannya menyatakan sokongan terhadap rejim Zionis Israel

secara terang-terangan. Walaupun ramai rakyat di negara Islam tampil mengutuk sikap tersebut tetapi ia tidak dapat mengubah apa-apa. Jika tiada keberanian daripada pihak negara Islam melalui pertubuhan atau kesatuan yang teguh berdiri memperjuangan hak orang Islam, maka situasi ini tidak akan berubah. Usaha seperti memboikot barangan keluaran negara pro-Israel mesti disokong secara berterusan. Begitu juga hubungan diplomatik dengan mereka juga perlu dikaji segera.

Mungkin beberapa negara yang berkemampuan sederhana seperti Malaysia tidak mampu berhadapan dengan negara kuasa besar dunia. Namun, sekurang-kurangnya kita bersama negara kaya seperti beberapa negara Arab tampil untuk menentang negara pro-Israel dengan pelbagai cara. Pastinya, Allah akan menolong mereka yang menolong Allah. Allah SWT befirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 5:59 AM