GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohamad Shahrizal Nasir

ALLAH SWT menjelaskan Islam adalah agama yang diredai-Nya. Apabila Allah SWT reda, maka segala yang termaktub sebagai ajaran Islam adalah benar dan tiada keraguan padanya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19)

Tamatnya proses penurunan ayat al-Quran memberi petunjuk bahawa segalanya lengkap dan tiada tokok tambah lagi dalam urusan agama.

Allah SWT berfirman bermaksud: “…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)

Malah, dalam al-Quran juga dijelaskan sesiapa yang mencari agama selain daripada Islam, maka usahanya tidak akan diterima sama sekali.

Sehingga pada akhirat nanti, mereka tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang rugi.

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 85)

Ayat al-Quran itu menjelaskan kedudukan Islam di sisi Allah SWT.

Tiada sebarang penjelasan bagi menafikan kedudukan Islam di sisi Allah SWT sebagai satu agama samawi yang benar.

Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan Islam menerusi sabdanya bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Usah ada dalam kalangan umat Islam sendiri gagal menyaksikan kebenaran Islam dibawa oleh Rasulullah SAW.

Islam mula datang dalam keadaan asing dengan masyarakat Arab pada ketika itu sudah lama hidup dalam keadaan jahiliah yang jauh daripada panduan agama samawi.

Bagi mereka, Islam datang membawa perubahan terhadap bawaan nenek moyang mereka.

Dengan izin Allah SWT, Islam tersebar sehingga boleh kembali bertapak di bumi Makkah setelah diusir penduduknya.

Islam tersebar atas usaha Rasulullah SAW dan sahabat yang berpegang teguh terhadap kebenaran Islam.

Namun, semuanya tidak terjadi melainkan dengan pertolongan Allah SWT yang disertakan dengan keredaan-Nya.

Peristiwa Perang Badar menjadi antara bukti pertolongan Allah SWT terhadap Islam dan hamba-Nya yang beriman.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, ayat 9-10)

Pertolongan Allah SWT kepada tentera Islam ketika Perang Badar bukan kisah dusta.

Ia benar-benar terjadi dan pertolongan itu menggembirakan golongan Muslimin ketika itu. Keimanan mereka juga bertambah kuat terhadap Islam.

Bilangan tentera Islam tidak dapat menandingi tentera musuh namun dibantu tentera daripada kalangan malaikat.

Apabila bercakap mengenai Islam pada zaman Rasulullah SAW, Islam itu juga yang kini menjadi kepercayaan seluruh umat Islam.

Jika dikaitkan dengan tragedi menimpa umat Islam di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand baru-baru ini, memang benar sejumlah umat Islam terkorban.

Mereka dizalimi pihak yang tidak berperikemanusiaan. Nyawa mereka yang terkorban tidak dapat dikembalikan lagi.

Bagaimanapun, takdir Allah SWT membuatkan Islam kelihatan tinggi di tempat kejadian. Orang ramai menzahirkan simpati dengan meletakkan kalungan bunga di luar kawasan masjid.

Tidak kurang juga masyarakat bukan Islam datang melawat tempat kejadian. Perhimpunan solidariti turut diadakan dengan kehadiran penduduk setempat anjuran Persatuan Penuntut Universiti Canterburry (UCSA).

Selain itu, ketika perhimpunan diadakan, ayat suci al-Quran diperdengarkan. Malah, sidang Parlimen pertama New Zealand juga menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa tragedi.

Bacaan ayat suci al-Quran dibacakan pada permulaan sidang Parlimen diikuti terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa Inggeris serta diiringi bacaan doa buat mangsa yang terkorban.

Bukankah itu satu rahmat buat seluruh umat Islam? Nyawa umat Islam bernilai di mata orang lain, sekali gus membuktikan Islam dipandang tinggi ma-
syarakat bukan Islam.

Itu bukti menunjukkan Allah SWT sentiasa meninggikan Islam. Keredaan Allah SWT terhadap Islam dan umatnya melangkaui jangkaan manusia.

Aturan Allah SWT memberi petunjuk bahawa Islam adalah agama yang diredai-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela golongan yang beriman, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.” (Surah al-Hajj, ayat 38)

Penulis Pensyarah Universiti Sultan
Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 9:36 AM