ISLAM amat  mengambil berat tentang persiapan pertahanan.
ISLAM amat mengambil berat tentang persiapan pertahanan.
Dr Azri Bhari

MINGGU lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyambut ulang tahun ke-64 dengan menggunakan tema Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara yang disambut dan diraikan saban tahun pada 1 Jun.

Pemilihan tema tersebut sebagai menterjemahkan peranan utama TUDM sebagai kuasa udara selaras dengan peranan penting TUDM sebagai tunjang utama pertahanan dalam melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

Penghargaan dan penghormatan perlu diberikan kepada seluruh anggota TUDM, veteran TUDM serta semua yang pernah berkhidmat bersama TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara.

Islam sangat mementingkan pertahanan dan keselamatan dalam kehidupan yang perlu dipelihara dan diperjuangkan dari semasa ke semasa daripada anasir yang boleh membawa kehancuran dan kerosakan.

Terdapat pelbagai persediaan dan persiapan yang rapi perlu diusahakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian sesebuah negara.

Pertama, memantapkan keimanan dan keyakinan kebergantungan kepada Allah SWT dalam perjuangan. Keberanian dan semangat perjuangan yang tinggi sangat diperlukan dalam medan pertempuran.

Peperangan yang disertai Nabi SAW dan Sahabat RA adalah atas asas ketakwaan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Malahan, percaya bahawa perjuangan yang dilakukan hingga menewaskan tentera musuh bukan atas daya kemampuan diri semata-mata sebaliknya dengan pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi SAW ketika peristiwa Perang Khaibar menghalakan anak panah kepada Ibnu Abi Huqair sehingga tewas telah menjelaskan bahawa berlaku atas izin dan kehendak Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jugalah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah juga yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Anfaal :17)

Pada awalnya, Allah SWT merestui perang sekadar keizinan semata-mata untuk pertahanan negara Madinah. Allah SWT telah menjelaskan dalam ayat yang bermaksud: "Telah diizinkan (berperang) bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. Orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah" dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah, sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya, sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Surah al-Haj: 39-40)

Keizinan perang bukan berupa galakan, tetapi sekadar menyediakan kekuatan ketenteraan demi pertahanan negara pada awalnya. Manakala perintah berlakunya peperangan secara terbuka setelah turunnya ayat yang bermaksud: "Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas." (Surah al-Baqarah: 190)

Kedua, memastikan latihan kemahiran dan kecekapan dalam pertahanan berterusan. Persediaan anggota pertahanan yang mantap perlu dilaksanakan melalui latihan peperangan dan kemahiran menggunakan senjata dengan cara yang betul.

Berkata Uqbah bin Amir, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar: "Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah." (Riwayat Muslim)

Saranan Nabi SAW kepada umat Islam supaya bersiap sedia dengan latihan ketenteraan dan memberi amaran keras kepada yang sudah terlatih dengan alat peperangan, tetapi meninggalkan kemahiran tersebut.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu sudah pandai memanah, kemudian melupakannya, maka mereka itu bukan daripada umatku." (Riwayat Muslim)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Allah akan memasukkan (syurga) tiga orang kerana hanya satu panah iaitu pembuat panah yang membuatnya untuk tujuan yang baik, pemanah dan orang melatihnya, oleh itu panah dan tungganglah, tetapi pemanah lebih aku utamakan daripada penunggang." (Riwayat al-Nasa'i dan Ahmad)

Ketiga, menyediakan peralatan dan kelengkapan pertahanan yang terbaik. Seiring perkembangan zaman keperluan terhadap senjata cangiih dan moden perlu disediakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu." (Surah al-Anfal: 60)

Shaikh Dr Yusuf al-Qaradawi menjelaskan persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Dalam konteks semasa, persediaan ketenteraan  termasuk kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear.

Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi menjelaskan dalam 'Kitab Fiqh Jihad' bahawa tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutama bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam.

Keempat, mengatur strategi dan perancangan yang bijaksana dalam medan peperangan. Berdasarkan kisah perang Badar, Nabi SAW mengambil strategi menguasai sumber air dengan mengepung perigi.

Manakala, dalam kisah perang Uhud, Nabi SAW telah mengarahkan pasukan memanah yang diketuai Abdullah bin Jubair supaya menguasai bukit-bukit untuk pertahanan dan terus bertahan di Bukit Uhud.

Seterusnya, dalam  perang Khandaq umat Islam mengambil strategi bertahan dalam kota untuk menghadapi serangan musuh. Cadangan tersebut adalah saranan Salman al-Farisi berdasarkan strategi perang zaman Empayar Sasan di Parsi dengan menggali parit sebagai kubu pertahanan untuk menghalang kemaraan musuh.

Begitulah gambaran betapa Islam amat mengambil berat tentang persiapan pertahanan. Sekiranya perkara ini dilaksanakan oleh umat Islam, pastinya salah sebuah negara Islam suatu hari nanti akan menjadi kuasa besar dan boleh memberikan kata dua kepada kuasa barat.

Demikianlah, Islam mementingkan persediaan bukan hanya dari aspek fizikal semata-mata tetapi juga aspek dalaman seseorang. Tiada ertinya senjata canggih sekiranya jiwa pejuang kosong daripada keyakinan kepada Allah SWT dan tidak berani menghadapi cabaran.

Semoga TUDM terus mengorak langkah sebagai satu ketumbukan udara yang moden dan canggih dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara serta menjadi sebuah angkatan udara disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Penulis Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:59 AM